May 24, 2015

Warga emas maut terjatuh gaung

FOTO ihsan bomba

Serian: seorang wanita warga emas maut apabila van dinaiki bersama lima penumpang lain termasuk pemandu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 10, Kampung Bunan Gega, di sini, kira-kira 7 pagi tadi.

Dayu Kalam, 72, yang tercampak keluar dari van disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala, manakala lima penumpang lain cedera. Difahamkan, van dipandu Thomas Saweng, 68, dalam perjalanan dari Kampung Mapuk ke Pasar Serian dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Serian, Muhd Mirza Dzalmira Miraj berkata, jentera bersama sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 7.37 pagi. Katanya, wanita warga emas terbabit disahkan meninggal dunia oleh paramedik di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Serian untuk bedah siasat.

"Bomba menyelamatkan mangsa yang cedera naik ke darat sebelum diserahkan kepada ambulans untuk tindakan lanjut. Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,"katanya.

myMetro 24 Mei 2015


Warga emas maut tercampak

ANGGOTA bomba mengangkat salah seorang mangsa yang terselamat selepas van sewa yang dinaiki enam individu terhumban ke dalam gaung di Jalan Kampung Bunan Gega, Serian, Sarawak semalam. Gambar kecil Dayu.

SERIAN – Hasrat seorang wanita warga emas pergi ke pusat bandar di sini untuk membeli barangan keperluan sempena sambutan Hari Gawai minggu depan tidak kesampaian apabila dia maut selepas van sewa yang ­dinaikinya terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam 10 meter di Jalan Kampung Bunan Gega, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Dayu Kalan, 72, dari Kampung Mapu Tragu yang tercampak keluar dari kenderaan dinaikinya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala, badan dan putus kaki kiri.

Bagaimanapun, lima lagi penumpang lain termasuk pemandu van jenis Toyota Hiace itu hanya mengalami kecede­raan ringan.

Menurut sumber, sebelum kejadian, van yang dipandu oleh Thomas Saweng, 68, itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Kampung Mapuk menuju ke pusat bandar di sini.

“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan itu dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum berpusing beberapa kali lalu terhumban ke dalam gaung sedalam 10 meter di bahu jalan berkenaan.

“Wanita malang yang tercampak keluar sejauh kira-kira 10 meter itu dilaporkan mengalami kecederaan serius pada kepala dan badannya sebelum disahkan maut oleh pasukan paramedik,” kata­nya ketika ditemui di sini semalam.

Kosmo 25 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment