March 28, 2015

Mayat wanita dalam bilik hotel

MAYAT jurujual wanita yang dibunuh. FOTO ihsan Sin Chiew Daily

Kuching: Seorang jurujual wanita ditemui mati dalam keadaan bogel dengan kedua-dua tangan dan kaki diikat menggunakan tali dipercayai dibunuh dalam bilik hotel di Jalan Green Hill, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 42 tahun dilaporkan menginap di hotel berkenaan sejak beberapa hari lalu sebelum mayatnya ditemui atas katil pada 11.30 pagi selepas polis menerima panggilan daripada kakitangan hotel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

Roslan berkata, siasatan awal mendapati mayat terbabit ditemui pekerja hotel dalam keadaan terbaring serta ditutup dengan selimut.

"Malah, polis mendapati kedua-dua tangan dan kaki diikat menggunakan tali. Polis turut menemui kesan jerutan serta cekik pada leher sekali gus tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh.

"Maklumat diperolehi mendapati mangsa membuat daftar masuk di hotel berkenaan sejak Rabu lalu. Pada masa sama, tiada senjata ditemui dalam bilik hotel berkenaan," katanya.

Katanya, berikutan itu, polis melancarkan gerakan mengesan suspek di sebalik kejadian ini.

myMetro 27 Mac 2015


Mati bogel, diikat

KUCHING: Seorang wanita yang menginap di sebuah hotel bajet di Jalan Green Hill di sini sejak Rabu lepas mati dipercayai dibunuh selepas ditemui dalam keadaan bogel dengan tangan dan kakinya diikat, semalam.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Lam, 42, ditemui mati oleh pekerja hotel berkenaan yang segera memaklumkan kepada pihak hospital sekitar jam 11.30 pagi.

Menurut seorang pekerja, mangsa bersama seorang lelaki dipercayai warga asing tiba di hotel tersebut sekitar jam 9 pagi Rabu lepas, namun enggan mendaftar masuk dengan alasan cuma memerlukan sebuah bilik untuk berehat.

“Saya ada meminta dokumen peribadi daripada dia (mangsa) untuk tujuan pendaftaran, tetapi dia enggan kerana mereka cuma ingin menginap beberapa jam sahaja dan dia (mangsa) telah membayar RM45 untuk itu.

“Sekitar jam 1 petang (hari sama), rakan mangsa itu keluar dari bilik dengan membawa beberapa bagasi dan memberitahu dia perlu ke Serian.

“Sebelum beredar, dia membayar RM45 untuk penginapan sehari lagi dan memberitahu rakannya (mangsa) itu masih berada di dalam bilik,” kata pekerja terbabit.

Tambahnya, mangsa yang perlu mendaftar keluar semalam bagaimanapun gagal berbuat demikian menyebabkan seorang pekerja hotel tersebut terpaksa melakukan pemeriksaan ke dalam bilik.

“Saya hubungi biliknya berkali-kali, tetapi tidak dijawab. Jadi, seorang rakan sekerja saya terpaksa memeriksa ke dalam bilik dan terkejut melihat mangsa tidak lagi bernyawa dan badannya ditutup dengan selimut.

“Pada mulanya kami tidak menyangka dia dibunuh sehinggalah ketibaan anggota paramedik dan melihat tangan serta kakinya diikat dan terdapat kesan jerutan atau dicekik pada lehernya,” katanya.

Mereka kemudian terus menghubungi pihak polis untuk memaklumkan insiden tersebut.

Difahamkan juga, tiada sebarang dokumen pengenalan diri milik mangsa ditemui di tempat kejadian.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad yang mengesahkan kejadian tersebut memberitahu siasatan oleh anggotanya di tempat kejadian turut menemui kereta milik mangsa.

“Kita telah pergi ke setiap rumah pemilik kenderaan yang terdapat di situ dan kebetulan sebuah daripada kereta di situ adalah milik mangsa membolehkan kita mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat sebagai kes bunuh di bawah Sekysen 302 Kanun Keseksaan.

Utusan Borneo 28 Mac 2015



0 comments:

Post a Comment