March 28, 2015

Leher patah jatuh bumbung

MUHAMMAD Hafizudin ditenangkan rakan ketika dirawat di HSNZ.

Kuala Terengganu: seorang bekas pemain bola sepak Terengganu musim 2010-2013. kini terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, akibat patah tulang belakang apabila terjatuh dari bumbung sebuah rumah dalam kejadian di Kampung Kedai Buluh, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, bekas pemain pertahanan, Muhammad Hafizudin Ali, 24, dikatakan membuat kerja memasang bumbung rumah pelanggan bersama lima pekerja lain.

Malangnya, kayu penghadang di bawah bumbung yang dipijaknya tiba-tiba patah menyebabkan mangsa hilang kawalan dan terjatuh dari ketinggian empat meter.

Abang mangsa, Muhammad Azman Ali, 34, berkata, ketika kejadian dia berada di atas bumbung sama dan terkejut melihat adiknya terjatuh dari bumbung sebelum tersembam di atas timbunan kayu di atas lantai rumah berkenaan.

Menurutnya, tanpa berlengah, dia terus turun dari bumbung dan mengangkat adiknya yang parah itu.

“Saya dan pekerja lain terus mengangkat dan membawanya ke Klinik Bukit Payong untuk mendapatkan rawatan sebelum diminta rujuk ke HSNZ.

“Doktor memberitahu terdapat kesan patah di bahagian tulang leher adik saya dan dia perlu menjalani pembedahan dalam masa terdekat.

“Kecederaannya serius dan doktor memasang besi penahan di kiri dan kanan kepala mengelakkan pergerakan sementara waktu ini,” katanya ketika ditemui di Wad Ortopedik HSNZ, di sini, semalam.

Muhammad Azman berkata, adiknya kini bekerja sebagai pembantu tukang rumah selepas berhenti menjadi pemain bola sepak.

Katanya, kejadian itu menyebabkan adiknya perlu berehat panjang untuk membolehkan kecederaan yang dialami pulih.

myMetro 27 Mac 2015


0 comments:

Post a Comment