March 28, 2015

Nilai sekotak ubat nyamuk

GELANDANGAN jadikan kotak sebagai alas untuk tidur.

GOLONGAN gelandangan di ibu kota terus dibantu.

Kuala Lumpur: “Besar maknanya ubat nyamuk pada kami! Susah nak tidur jika ‘berperang’ dengan ratusan nyamuk setiap malam,” demikian luah seorang gelandangan, Hassan Mohd Isa, 60, yang dilihat terkial-kial cuba menyalakan ubat nyamuk menggunakan pemetik api. Dia ditemui wartawan ketika sedang bersiap sedia untuk tidur berbaris bersama puluhan gelandangan lain di sepanjang deretan kerusi besi di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Masjid India di sini, jam 11.30 malam semalam.

Keluhannya itu berasas apabila hampir semula gelandangan dilihat wartawan berusaha menghidupkan ubat nyamuk masing-masing sebelum diletakkan di kaki kerusi atau berhampiran kepala masing-masing.

Walaupun bau asap ubat nyamuk itu menyesakkan hidung namun ia dianggap penyelamat dari gangguan menggila nyamuk saban malam.

“Kami dapat rasa nikmat tidur dan mimpi. Tanpa ubat nyamuk, saya sukar untuk lelapkan mata hingga ke pagi. Biar lapar asalkan saya ada sedikit wang untuk membeli ubat nyamuk.

“Saya tak kisah jika sejuk malam hingga ke tulang atau perut kosong, asalkan tidak digigit nyamuk. Rimas dan gatal satu badan dibuatnya,”katanya.

Dia memberitahu menjadi penghuni tetap deretan bangku besi itu bersama lebih 20 gelandangan lain yang mempunyai pelbagai masalah tersendiri.

“Saya bekerja mengutip kotak kertas, tin aluminium atau botol plastik untuk dijual bagi meneruskan hidup. Sebahagian duit itu saya gunakan untuk beli dua kotak ubat nyamuk untuk bekalan seminggu,”katanya.

Dia berkata, kejatuhan harga barangan lusuh sejak kebelakangan ini menyebabkan pendapatannya berkurangan.

“Jika dahulu harga kertas boleh dijual dengan harga RM1.50 hingga RM2 sekilogram namun kini harganya jatuh hanya RM1. Malah, harga tin minuman aluminium juga hanya boleh dijual sekitar RM3 sekilogram,”keluhnya.

Dia bagaimanapun bersyukur berikutan masih ada individu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bersimpati dan menghulurkan bantuan makanan kepadanya.

“Sekejap tadi ada anggota polis sedekahkan saya bungkusan nasi campur. Alhamdulillah, malam ini saya tak kelaparan,”katanya.

Hassan berkata, walaupun tidur merempat di kaki lima jalan namun dia akan memastikan pakaiannya dalam keadaan bersih dan dibasuh sentiasa.

“Saya akan mandi setiap pagi di tandas awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kalau sempat, saya akan singgah di Masjid Sentul untuk membasuh kain baju.

“Baju perlu bersih dari najis kerana ini yang akan dipakai ketika solat. Biar hidup merempat sekalipun, solat jangan ditinggalkan. Itu tanggungjawab kita pada Tuhan,” katanya.

Menurutnya, dia berharap janji kerajaan untuk membina penempatan kepada golongan daif tahun lalu dapat dilaksana.

“Saya ada dengar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membina rumah untuk kami. Namun enam bulan sudah berlalu dan saya tidak nampak perubahan,”katanya.

Dia mendakwa tidak berniat untuk mencemarkan imej ibu kota dengan tidur di kaki lima namun kesempitan hidup dialami menyukarkannya bagi memiliki kediaman.

“Wang pendapatan sekitar RM300 sebulan hanya cukup-cukup makan. Saya tidak mahu mengemis hanya berharap ada tempat selesa untuk tidur,”katanya.

myMetro 27 Mac 2015


0 comments:

Post a Comment