March 28, 2015

Isteri rayu suami pulang

Masyitah memegang anaknya yang berusia tiga bulan

ARAU - Seorang isteri merayu suaminya pulang ke pangkuan setelah gagal dikesan sejak Disember tahun lalu.

Masyitah Salleh, 25, dari Kampung Kubang Gajah, berkata, kali terakhir dia berjumpa suaminya, Muhammad Zaidi Awang, 28, pada jam 4 petang pada 7 Disember tahun lalu.

Menurutnya, dia tidak mengetahui punca suaminya itu meninggalkannya dan sehingga kini dia tidak menerima sebarang berita dari suaminya.

“Ketika itu saya dalam pantang, jadi saya tidak dapat ikut suami saya balik ke rumah ibunya di Tambun Tulang untuk makan kenduri. Setelah suami saya balik ke rumah mertua, dia terus tidak pulang ke rumah.

“Saya kini tak tahu di mana dia berada, saya merayu supaya dia pulang ke pangkuan saya supaya kami dapat membesarkan anak bersama-sama," katanya.

Masyitah berkata, dia tidak mempunyai pendapatan untuk menyara anak sulung mereka yang berusia tiga bulan.

"Kini saya hanya bergantung harap kepada abang untuk membeli barang keperluan kami dua beranak,” katanya.

Jelas Masyitah, dia kini menumpang di rumah bapanya dan terpaksa tidur di ruang tamu memandangkan adik-beradiknya ramai.

"Ayah juga kini terlantar akibat strok dan hanya bergantung kepada pendapatan abang yang bekerja sebagai buruh.

“Saya tidak mengharapkan kemewahan, saya cuma mahu suami saya kembali, anak saya memerlukan kasih sayang seorang ayah,” katanya.

Sinar Harian 27 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment