March 28, 2015

Jentera hempap kereta

Jentera pembajak jenis Kubota tersangkut pada kabel Telekom Malaysia lalu menghempap sebuah kereta, tengah hari semalam.

SABAK BERNAM  - Seorang wanita berdepan detik cemas selepas sebuah jentera pembajak jenis Kubota yang dibawa sebuah lori tersangkut pada kabel Telekom Malaysia lalu menghempap kereta mangsa di Simpang Tiga Jalan Pegawai, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa, Yatimah Yamin, 48, dalam perjalanan dari arah  Jalan Pegawai menghala ke Sungai Besar.

Menurutnya, mangsa yang memandu kereta Perodua Kelisa terpaksa keluar mengikut pintu depan tempat duduk penumpang hadapan selepas kereta berkenaan remuk pada bahagian atas bumbung tempat pemandu.

“Mangsa tidak menghadapi sebarang kecederaan dan berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Nor Azmi berkata, kejadian itu berlaku selepas Kubota yang berada di atas sebuah lori itu tersangkut pada wayar lori menyebabkan penghadang atas lori terbabit pecah sebelum jentera berkenaan jatuh lalu menghempap kereta berkenaan.

“Kereta mangsa mengalami kerosakan dalam kejadian itu dan mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam,” katanya.

Sinar Harian 27 Mac 2015


Jentera pembajak hempap kereta

KEADAAN kereta Yatimah yang dihempap jentera pembajak.

Sungai Besar: Seorang wanita nyaris maut apabila sebuah jentera pembajak Kubota menghempap kereta Perodua Kelisa dinaikinya dalam kejadian di Simpang 3, Jalan Pegawai di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, pemandu kereta, Yatimah Yamin, 48, seorang kakitangan awam dikatakan dalam perjalanan ke pejabat pos berhampiran.

Namun, setibanya di persimpangan jalan, kereta dipandunya berhenti sebelum meneruskan perjalanan dan pada masa sama, lori membawa jentera berkenaan lalu di hadapan sebelum bahagian atas jentera itu tersangkut pada kabel telefon di jalan berkenaan.

Akibatnya, jentera itu terjatuh daripada lori yang membawanya sebelum menghempap kereta mangsa.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kejadian itu menyebabkan bahagian depan kereta mangsa remuk, namun jentera itu tidak mengalami kerosakan.

Beliau berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan dan keluar daripada kenderaan dipandu sejurus kejadian.

“Lori membawa jentera itu menghala ke Sungai Besar dan sebaik tiba di lokasi kejadian, ia tersangkut pada kabel telefon sebelum terkeluar dan jatuh menghempap kereta mangsa,” katanya, semalam.

Menurutnya, pemandu lori berusia 53 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

myMetro 27 Mac 2015



0 comments:

Post a Comment