March 28, 2015

Ibu tunggal tabah besarkan tiga anak

Haslinda (dua, kiri) menyerahkan sumbangan kepada Salina (tiga,kiri) di rumahnya di Kampung Sungai Lenek.

LABIS – Seorang ibu tunggal di Kampung Sungai Lenek, di sini, terpaksa membesarkan tiga anaknya seorang diri selepas suaminya terlibat dalam kemalangan maut berhampiran jalan masuk kampung itu, Selasa lalu.

Ibu tunggal, Salina Ahmad, 41, berkata, arwah suaminya, Nurzalan Dol Majid, 42, yang membawa van sekolah terlibat dalam kemalangan selepas menghantar pulang pelajar sekolah di kawasan Rumah Rakyat Chaah, di sini.

“Ketika kejadian saya yang juga pemandu van sekolah sedang menghantar pulang pelajar di Ladang Estet Kiri sebelum tergerak hati menghubungi suami kerana hari itu pelajar sekolah pulang awal.

“Tapi, sepupu saya yang angkat telefon dan beritahu suami saya terlibat dalam kemalangan jalan raya di persimpangan masuk kampung ini,” katanya sewaktu menerima lawatan Skuad Sayang Wanita Umno Bahagian Labis di rumahnya, semalam.

Menurutnya, sepupunya itu kemudian memaklumkan suaminya dibawa ke Klinik Kesihatan Chaah untuk mendapat rawatan kerana mengalami cedera parah.

Ibu tiga anak berusia antara empat hingga 11 tahun itu berkata, setibanya dia di klinik kesihatan tersebut, doktor memaklumkan suaminya telah meninggal dunia kerana cedera di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

“Saya akan teruskan pekerjaan saya sebagai pemandu van sekolah kerana ini saja sumber rezeki untuk membesarkan ketiga-tiga anak saya yang masih kecil, meskipun masih trauma kehilangan suami.

“Buat sementara waktu, saya mengupahkan orang lain menguruskan van tersebut kerana masih belum mempunyai kekuatan untuk memandu. Anak-anak saya juga seolah-olah memahami bahawa bapa mereka sudah tiada,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Labis, Haslinda Salleh berkata, keluarga tersebut akan menerima bantuan MyKasih sebanyak RM80 sebulan untuk membeli barang-barang keperluan harian di kedai terpilih.

Menurutnya, beliau meminta Salina dan keluarganya bersabar dengan tragedi yang menimpa dan akan memastikan kebajikan anak-anak Salina sentiasa terjaga.

Sinar Harian 27 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment