February 25, 2015

Lemas tersangkut celah batu

Anggota bomba membawa keluar mayat mangsa dari kawasan jeram

KUALA BERANG - Kegembiraan enam sahabat menghabiskan cuti sempena Tahun Baharu Cina dengan menangkap ikan di Jeram Lubuk Besar, Belukar Bukit, berakhir dengan episod duka selepas seorang daripada mereka lemas, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa, Fairul Azman Azmi, 29, dari Felda Mengkawang yang ketika itu berada di atas batu, dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai lalu dibawa arus sebelum tersangkut di celah batu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, mangsa keluar dari rumah ke Air Terjun Belukar Bukit untuk menangkap ikan di kawasan jeram, kira-kira jam 11 pagi.

Bagaimanapun katanya, mangsa dikatakan tergelincir lalu terjatuh ke dalam air dengan disaksikan rakan-rakan lain yang kemudiannya cuba membantu mengeluarkan mangsa, tetapi arus kuat menyukarkan usaha tersebut.

“Setelah lebih setengah jam berusaha, mereka akhirnya berjaya mengeluarkan mangsa yang tersangkut di celah batu lalu mengusungnya keluar dari kawasan jeram,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan jam 3.56 petang dan bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki sebuah jentera serta tiga pacuan empat roda.

Menurutnya, seramai tujuh anggota diketuai Pegawai Bomba Mohd Khairul Bidin terlebih dahulu ke tempat kejadian, disusuli kumpulan kedua disertai seramai enam anggota diketuai dua pegawai termasuk beliau sendiri.

"Pihak bomba tiba pada jam 4.15 petang. Memandangkan kejadian berlaku di kawasan jeram, kita ambil masa lebih satu jam dengan berjalan kaki ke lokasi kejadian dan tiba jam 5.46 petang.

"Ketika tiba, mangsa sudah dikeluarkan daripada celah batu, malah rakannya turut mengusung mangsa menggunakan pengusung daripada batang kayu dan baju T dipakai. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang bekerja di Kuala Lumpur pulang ke kampung sempena Tahun Baharu Cina dan dijadualkan kembali ke tempat kerja pada minggu depan.

Mangsa juga bakal sambut kehadiran adik ipar sempena majlis sambut menantu di rumah orang tuanya di Felda Mengkawang, Khamis ini setelah adik lelakinya selamat mendirikan rumah tangga di Marang, Jumaat lalu.

Sinar Harian 23 Feb 2015

0 comments:

Post a Comment