February 25, 2015

Konvoi 10 rakan bertukar tragedi

Keadaan motosikal mangsa setelah terlibat kemalangan tersebut

MARAN - Konvoi 10 rakan secara bermotosikal dari Kuantan ke Felda Jengka 5 bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam satu kemalangan di Kilometer 177.9 Lebuh Raya Pantai Timur, kira-kira jam 5.15 pagi, semalam.

Mangsa, Muhammad Amirul Iezzwan Amran, 19, yang merupakan pelatih Institut Latihan Perindustrian Kuantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada.

Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Abd Razak Abd Majid berkata, mangsa bersama rakan lain menunggang motosikal masing-masing dalam perjalanan dari Kuantan ke Jengka 5.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa cuba memotong sebuah kereta yang berada di lorong kiri (perlahan).

“Ketika sedang memotong, kereta Honda Jazz tersebut secara tiba-tiba memasuki lorong kanan dan bergesel dengan motosikal mangsa.

“Pergeselan menyebabkan motosikal jenis Yamaha 125 itu terbabas dan mangsa terpelanting sebelum terseret lalu merempuh besi penghadang tengah jalan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada, mayat dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat,”katanya.

Katanya, jenazah dituntut keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 5.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan lurus dan kering namun gelap kerana tiada lampu jalan.

“Wanita berusia 20 tahun yang memandu kereta terbabit bersama suami dan dua anak berusia setahun serta tiga tahun dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Bangi, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sinar Harian 23 Feb 2015

0 comments:

Post a Comment