February 25, 2015

Dada mayat terapung ada tatu bentuk bunga

Keadaan mayat lelaki tanpa pengenalan diri yang ditemui terapung berhampiran Jeti Tanjung Gemok selepas dinaikkan ke atas darat.

ROMPIN – Waris atau kenalan kepada mayat seorang lelaki tanpa pengenalan diri yang ditemui terapung berhampiran Jeti Tanjung Gemok sekitar jam 12.45 tengahari Rabu lalu diminta tampil bantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai penemuan mayat tersebut daripada Ketua Kampung Tanjung Gemok.

“Sepasukan anggota polis dari Balai Polis Tanjung Gemok segera ke tempat kejadian untuk mendapatkan kepastian dan memang sah ia mayat seorang lelaki namun tiada dokumen pengenalan diri pada mangsa.

“Mangsa ketika ditemui berada dalam keadaan tertiarap manakala pada tubuhnya terdapat tatu di bahagian sebelah kiri dada berbentuk bunga,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, menurutnya, mayat berkenaan turut memakai seluar trek pendek berwarna hijau, memiliki tubuh badan yang gempal dengan tinggi kira-kira 1.68 meter.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mayat berkenaan dipercayai warga asing namun tidak dapat disahkan dan berharap sesiapa yang kehilangan ahli keluarga dengan gambaran individu yang dinyatakan boleh menghubungi balai polis berhampiran.

“Sesiapa yang kehilangan ahli keluarga atau mungkin mengenali mangsa boleh hubungi Balai Polis Tanjung Gemok di talian 09-4132999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di talian 09-4145222,” katanya.

Sinar Harian 23 Feb 2015

0 comments:

Post a Comment