February 25, 2015

Kilang perabot rugi hampir RM1 juta terbakar

Kilang perabot rugi hampir RM1 juta terbakar Asap tebal memenuhi ruang udara apabila sebuah kilang perabot dan kasut hangus dijilat api yang terletak di Kawasan Perusahaan Mergong Barrage di Alor Setar, hari ini. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Sebuah kilang perabot dan kilang kasut yang terletak di dalam premis yang sama di kawasan perindustrian Mergong di sini musnah dalam kebakaran tengah hari ini, menyebabkan kerugian kira-kira RM1 juta.
 
Anak pemilik kilang perabot, Teoh Boon Sin, 30, berkata ketika kejadian, tiada pekerja di dalam kilang tersebut kerana ditutup selama 10 hari bersempena Tahun Baharu Cina dan hanya dibuka semula Rabu ini.
 
Katanya kesemua barangan di dalam dua kilang yang beroperasi sejak 10 tahun itu musnah termasuk dua buah lori yang diletakkan di dalam kilang tersebut.

"Kebetulan saya lalu di kawasan itu dan saya nampak ada banyak asap. Saya terus ke tempat kejadian dan terkejut apabila kilang bapa saya yang terbakar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
 
Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar Md Noor Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.07 tengah hari dan sampai pada jam 12.17 tengah hari.  
 
Katanya lima buah jentera Bomba dengan kekuatan 34 anggota dikerah untuk mengawal kebakaran daripada merebak, dengan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 12.48 tengah hari.
 
Beliau berkata pihaknya turut dibantu 144 anggota Bomba Sukarela dengan kekuatan 24 jentera.
 
"Kebakaran bermula dari kilang perabot terlebih dahulu sebelum merebak ke kilang kasut yang terletak berhampiran di dalam satu bangunan itu yang mengakibatkan 85 peratus bangunan itu musnah," katanya.
 
Punca kebakaran sedang disiasat. - Bernama

23 Februari 2015

0 comments:

Post a Comment