January 25, 2015

Kru kapal tunda dikhuatiri lemas di Sungai Baram

MARUDI: Seorang kru kapal tunda, berusia dalam lingkungan 20-an dikhuatiri lemas, selepas mangsa disyaki terjatuh ke Sungai Baram malam kelmarin.

Kehilangan mangsa dikenali sebagai Isa Bakar, hanya disedari pagi semalam oleh rakannya ketika hendak membangunkan mangsa selepas dia tidak kelihatan.

Menurut sumber, pemuda berbangsa Melayu dari Marudi itu baharu melaporkan diri bekerja di kapal tunda berkenaan, tiga hari lepas.

Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Baram ketika kapal tunda berkenaan berada di lokasi Logan Sibong, di Baram Tengah, iaitu dalam perjalanan ke tapak kerja.

Laporan polis telah dibuat pada jam 4.30 petang dan menurut Pegawai Penyiasat Polis Marudi ASP Mohd Roslan Mat Kid, gerakan mencari dan menyelamat telah dilancarkan.

Utusan Borneo 23 Jan 2015


Mayat pekerja terjatuh dari kapal tongkang ditemui

MIRI: Mayat mangsa lemas dipercayai terjatuh dari kapal tongkang ditemui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menyertai operasi mencari dan menyelamat pagi semalam pada hari keempat operasi tersebut.

Mangsa, Isha Bakar, 35, berasal dari Kampung Dagang, Marudi dipercayai terjatuh dari kapal tongkang tempat dia bekerja semasa melalui kawasan Logan Sibong, pada tengah malam 22 Januari lalu.

Sementara itu, mayat mangsa ditemui pada jam 10.20 pagi semalam, di kawasan Tanjung Opar, Baram kira-kira 30 kilometer dan satu jam perjalanan dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Mayatnya kemudian diserah kepada polis Marudi dan dibawa ke Hospital Marudi untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh waris dan ahli keluarganya.

Utusan Borneo 26 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment