January 25, 2015

Murid tahun dua menjadi mangsa dera ibu tirinya

SIBU: Seorang murid tahun dua sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di sini disyaki menjadi mangsa dera ibu tirinya setelah pihak sekolah mendapati kesan lebam kedua-dua tangannya.

Kejadian itu dilaporkan pihak sekolah jam 10.30 Rabu lalu selepas mendapati ada kesan lebam baharu di tangan kiri dan lutut kiri manga berusia lapan tahun dan berbangsa Cina.

Menyedari hakikat itu, mangsa dipanggil pihak sekolah untuk sesi kaunseling.

Pada mulanya, mangsa enggan mencerita perkara sebenar namun setelah dipujuk berkali-kali akhirnya mangsa menceritakan kesan-kesan lebam itu adalah angkara emak tirinya.

Difahamkan ibu tiri mangsa, 30, seorang suri rumah manakala bapa kandung, 32, seorang mekanik dipanggil ke balai polis untuk diambil keterangan. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen Kesalahan 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak.

Dalam kes berasingan, seorang wanita, 27, bergaduh dengan abang kandungnya gara-gara seekor kucing peliharaan mereka hilang.

Dalam insiden jam 11 pagi di sebuah rumah, Jalan Au Yong di sini semalam seorang lelaki, 29, naik angin bertindak memukul adiknya dengan tangan selepas mendapati adiknya tidak menjaga kucing peliharaan keluarga mereka menyebabkan ia hilang.

Selepas adiknya memberitahu kucing tersebut hilang kerana diberi kepada teman lelakinya.

Marah mengetahui apa terjadi kepada kucing dipelihara mereka sejak lima tahun, abangnya bertindak memukul adiknya yang turut melawan dengan menggunakan cawan.

Akibat itu abangnya mengalami luka di lengan terkena serpihan cawan tersebut.

Mangsa kemudian melarikan diri sehingga ke kawasan ibu pejabat polis di sini sebelum dihantar polis peronda ke Balai Polis Sentral.

Akhirnya kedua-dua beradik itu dinasihatkan berdamai dan tidak berdendam sesama sendiri hanya kerana seekor kucing yang hilang.

Utusan Borneo 24 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment