January 25, 2015

Ibu bayi dalam mangkuk tandas disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan

BINTULU: Kes penemuan mayat bayi di tandas asrama pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di sini akan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran, kata Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Abdul Razak Mohammad.

Katanya, pelajar berumur 19 tahun dari Sabah juga ibu kepada bayi itu kini mendapat rawatan di Hospital Bintulu dan disoal siasat.

Beliau berkata, bedah siasat ke atas bayi itu dijalankan semalam untuk menentukan umurnya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada jam 4 pagi apabila pelajar itu terjaga dari tidur mengadu sakit perut.

Jelasnya, rakan sebilik pelajar itu bertanya kenapa serta memberikan ubat, namun akibat terlalu sakit, pelajar itu terus berlari ke tandas.

“Pelajar itu kemudian masuk ke dalam tandas dan mengunci dari dalam. Disebabkan terlalu lama dalam tandas, rakan mangsa memecah pintu tandas yang berkunci itu,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu semalam.

Beliau berkata, apabila dipecahkan, rakan pelajar itu ternampak kaki bayi terkeluar dari mangkuk tandas manakala kepala bayi dalam lubang mangkuk tandas tersebut dan pelajar itu pula pengsan.

“Kakitangan di institusi pengajian itu terus dimaklumkan mengenai kejadian itu seterusnya menghantar pelajar itu ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, mangkuk tandas itu terpaksa dipecahkan untuk mengeluarkan mayat bayi tersekat tersebut dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Utusan Borneo 23 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment