January 24, 2015

Empat sekeluarga maut serentak


ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa daripada kereta Perodua Kancil di Merlimau semalam.

JASIN – Empat sekeluarga maut selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan dua buah kenderaan lain di Kampung Bukit Gereja, Jalan Serkam Pantai, Merlimau dekat sini semalam. Mangsa ialah Ida Dollah, 46, yang memandu kereta berkenaan, dua anaknya, Siti Rohana Abd. Ghafar, 23, dan Siti Rohani, 18, dari Kesang Laut, Muar, Johor serta ibu mentua Ida, Saimah Wahab, 77.

Seorang jurucakap bomba berkata, kemalangan kira-kira pukul 4 petang itu dipercayai berlaku apabila kereta Kancil dipandu Ida dari arah Bandar Melaka dilanggar sebuah kereta Proton Perdana yang datang dari arah bertentangan.

Katanya, kereta mangsa kemudian dilanggar sebuah Proton Preve yang datang dari arah belakang menyebabkan dua anak Ida, Siti Rohana dan Siti Rohani, yang duduk di kerusi penumpang belakang tercampak keluar dari kenderaan tersebut.

Kejadian itu turut menyebabkan Ida, seorang pekerja kilang dan Sai­mah, yang duduk di tempat penum­pang hadapan tersepit.

“Keempat-empat mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu Proton Perdana mengalami kecede­raan ringan sementara pemandu Proton Preve tidak cedera,” katanya.

Menurut suami Ida, Abd. Ghafar Said, 49, isterinya ada memberitahu yang mereka hendak pergi ke Bandar Melaka kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.

Kosmo 24 Jan 2015


Ajal empat wanita

MAYAT empat mangsa yang maut dalam kemalangan.

Jasin: Empat wanita maut dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan di Serkam Pantai, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang, empat wanita yang maut itu adalah pemandu dan penumpang satu daripada kereta terbabit.

Difahamkan, dua daripada mereka tercampak keluar manakala dua lagi tersepit dan mati di tempat kejadian.

Kemalangan membabitkan Perodua Kancil, Proton Preve dan Proton Perdana.

Turut cedera dalam kemalangan itu adalah seorang lelaki yang juga pemandu Proton Perdana berkenaan.

myMetro 23 Jan 2015


3 nahas 7 terkorban

EMPAT maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Serkam Pantai, dekat Merlimau.

Jasin: “Saya hilang semua sekali sekelip mata,” kata Abd Ghafar Said yang kematian isteri, dua anak dan ibu mentua selepas terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Serkam Pantai, Kampung Bukit Gereja, Umbai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, isteri Abd Ghafar, Ida Dollah, 46, dua anaknya, Siti Rohana, 23, dan Siti Rohani, 18, serta ibu mentuanya, Saimah Wahab, 77, maut di lokasi selepas Perodua Kancil dari arah Bandaraya Melaka ke Muar, Johor bertembung dengan Proton Perdana dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.

Difahamkan, Perodua Kancil itu kemudian dirempuh Proton Preve dinaiki tiga sekeluarga dari arah belakang yang gagal mengelak sebelum terbalik dan mengakibatkan Ida dan Saimah tersepit di tempat duduk manakala Siti Rohana dan Siti Rohani tercampak keluar.

Pemandu Proton Perdana yang cedera dihantar ke hospital manakala tiga sekeluarga yang menaiki Proton Preve itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Abd Ghafar, 49, berkata, dia yang ketika itu berada di rumah di Kesang Laut, Muar, Johor mengetahui mengenai kejadian selepas dimaklumkan adiknya yang menerima panggilan daripada anggota polis.

“Pagi tadi (semalam) isteri meminta izin untuk ke Melaka bersama anak kerana Siti Rohana yang bekerja di Pejabat Kesihatan di Johor Bahru pulang cuti hujung minggu sebelum mengambil ibunya di Sungai Rambai, Jasin.

“Namun, kira-kira jam 4.30 petang adik menghubungi memaklumkan mereka terbabit kemalangan sebelum abang saya, Ali, 50, datang ke rumah,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Jasin, di sini, semalam.

Menurutnya, dia yang mulanya menyangkakan kemalangan biasa, terkejut selepas dimaklumkan isteri, dua anak bersama ibu mentuanya maut dalam kemalangan terbabit.

myMetro 24 Jan 2015


Siti Rohana sempat beli barang 
pertunangan sebelum maut

JENAZAH empat sekeluarga, Ida Dollah, Siti Rohana Abd. Ghafar, Siti Rohani dan Saimah Wahab yang terbunuh dalam kemalangan di Bukit Gereja, Jalan Serkam Pantai, Merlimau, Melaka, disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sari, Pagoh, Muar, Johor, semalam. – Mingguan/Ishak Rahmad

PAGOH 24 Jan. – Empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan ngeri di Jasin, Melaka, semalam dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Parit Kemang laut, Kesang Laut, Ledang selepas membeli barang pertunangan.

Mereka bertolak dari Melaka kira-kira pukul 4 petang selepas membeli kelengkapan pertunangan untuk salah seorang mangsa, Siti Rohana Abd. Ghafar, 23, dan sebelum itu sempat bersiar-siar di Bandar Raya Melaka.

Bapa mangsa, Abd. Ghafar Said, 49, berkata, Siti Rohana bersama anak keduanya, Siti Rohani, 18, selain isterinya, Ida Dollah, 46, dan ibu mertuanya Saimah Wahab, 77, sebelum kejadian ada menunjukkan tanda pelik.

“Isteri saya, Ida, tiga atau empat hari sebelum kejadian menyatakan kepada saya lebih baik mati daripada membuat dosa. Arwah isteri menyatakan demikian semasa saya bergurau dengannya tetapi tidak mengesyaki apa-apa.

“Sementara Siti Rohana pula kelihatan terlalu gembira hendak pergi ke Bandar Raya Melaka pukul 9.30 pagi semalam,” katanya ditemui selepas pengkebumian keempat-empat mangsa itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sari Baru, di sini hari ini.

Dalam kejadian di Jalan Melaka-Muar itu pukul 4.15 semalam, keempat-empat mangsa yang menaiki kereta Perodua Kancil dipandu Ida dari arah Melaka, dilanggar sebuah Proton Perdana dari Muar dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Kereta mangsa kemudian dilanggar sebuah Proton Preve dari arah belakang menyebabkan Siti Rohana dan Siti Rohani yang duduk dikerusi penumpang belakang tercampak keluar daripada kenderaan tersebut.

Sementara Ida dan Saima, di bahagian hadapan tersepit dan keempat-empat mereka maut di tempat kejadian yang berlaku di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuang Hwa dan berdekatan Kampung Seri Minyak.

Abd. Ghafar mengakui masih terkejut dengan insiden tersebut namun reda atas kehilangan isteri, dua anak dan ibu mertuanya serentak dalam kejadian yang amat menyayat hati itu.

Dalam pada itu, abang kepada Ida, Abdul Razak Dollah, 47, berkata, kali terakhir keluarganya bertemu adik dan ibunya lebih sebulan lalu tetapi mereka tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik.

“Saya difahamkan mereka ke Melaka untuk meninjau barang pertunangan Siti Rohana yang merupakan seorang jururawat dan mengetahui insiden itu apabila mendapat panggilan telefon pukul 6 petang semalam,” katanya.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi upacara pengkebumian di tanah perkuburan tersebut pukul 3.30 petang dan sebelum itu jenazah disembahyangkan di rumah Saima di kampung berkenaan yang dihadiri lebih 200 saudara, kenalan dan penduduk setempat.

Utusan 25 Jan 2015


0 comments:

Post a Comment