January 24, 2015

Atlet paralimpik meninggal akibat kemalangan


KUALA LUMPUR - Pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan Mohammad Azlan Mat Lazim meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Serdang Raya dekat sini, hari ini.

Pengarah Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Safrushahar Yusoff ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu yang turut melibatkan seorang lagi atlet lompat jauh paralimpik, Farisan Jasna.

Mohammad Azlan, yang juga juara pecut Sukan Para Asia dan Farisan, yang tinggal di asrama MSN, dikatakan menunggang motosikal untuk ke tempat riadah sempena cuti hujung minggu setelah berehat dari sesi latihan.

"Saya difahamkan motosikal ditunggangi Mohammad Azlan dan Farisan kemalangan dengan sebuah van. Mohammad Azlan dikatakan meninggal di tempat kejadian manakala Farisan dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

"Mayat Mohammad Azlan juga dibawa ke Hospital Serdang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Safrushahar juga melahirkan rasa sedihnya di atas kehilangan atlet paralimpik itu yang cemerlang dan merupakan ikon harapan negara ke Sukan Paralimpik di  Rio 2016.

"Ini satu kehilangan besar...apa lagi yang boleh saya katakan. Sasaran utama Azlan sendiri mahu meraih emas di Kejohanan Dunia di Dubai, seterusnya meraih  mata untuk melayakkan dirinya ke Sukan Paralimpik di Rio," tambahnya.

Beliau berkata motosikal yang dinaiki Mohammad Azlan dan Farisan dibeli daripada insentif kewangan hasil kemenangannya di Incheon.

Pada temasya Para Asia di Incheon Oktober tahun lepas, Mohammad Azlan, 24, yang berasal dari Kemaman, Terengganu menampilkan aksi cemerlang dengan  membawa pulang tiga emas menerusi acara 100 meter, 200m dan 400m lelaki dalam kategori kecacatan T38 dan T36.

Farisan, yang berasal dari Sarawak, merupakan atlet lompat jauh kategori kecacatan T37 yang memenangi pingat emas di Sukan SEA 2013 Nay Pyi Taw, Myanmar. - Bernama

24 Januari 2015


Jaguh paralimpik korban jalan raya

AKSI Mohammad Azlan yang memintas pelari dari China dalam acara 400 meter lelaki pada temasya Sukan Para Asia Incheon 2014 di Korea Selatan.

SERDANG – Pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia Incheon 2014 di Korea Selatan, Mohammad Azlan Mat Lazim, 25, maut manakala rakannya cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Serdang Raya, Seri Kembangan di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa dan rakannya, Farisan Jasna, 26, dikatakan baru sahaja selesai makan tengah hari di sebuah restoran di Serdang Raya sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah van.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakannya menunggang motosikal jenis Yamaha 125 cuba membelok ke kanan menuju ke Stadium Bukit Jalil sebelum bergesel dengan sebuah van lalu terbabas masuk ke dalam longkang .

Akibat kejadian tersebut, mangsa tercampak kira-kira 1.5 meter (m) dari motosikalnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala rakannya cedera pada bahagian badan.

“Farisan dikejarkan ke Hospital Serdang (HS) untuk mendapatkan rawatan manakala jenazah mangsa pula dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya di sini semalam.

Kosmo 25 Jan 2015


Azlan sukar dicari ganti

KHAIRY mengusung keranda Allahyarham Azlan ke van jenazah untuk dihantar ke kampung halamannya di Kemaman, Terengganu. FOTO Osman Adnan dan Yazit Razali

Kuala Lumpur: Pemergian atlet paralimpik negara, Mohammad Azlan Mat Lazim yang maut dalam kemalangan jalan raya di Serdang Raya dekat sini, hari ini, dianggap beberapa rakan sepelatih sebagai sukar dicari ganti.

Atlet rejam lembing paralimpik, Faridul Masri, 34, berkata beliau menganggap Allahyarham seperti adik sendiri kerana sentiasa bersamanya terutama ketika menjalani latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.

Beliau mengenali Allahyarham sejak 2012 ketika terpilih menyertai Program Paralimpik MSN.

“Azlan peramah dengan semua orang. Kami baru selesai menjalani latihan pagi ini dan tidak menyangka arwah terbabit dengan kemalangan jaya raya,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Serdang.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah turut menziarahi jenazah Allahyarham.

Berkongsi pandangan sama ialah atlet lontar peluru paralimpik negara, Addevih Majuvin, 33, yang berkata Allahyarham adalah individu yang tebal dengan sifat setiakawan dan sentiasa membantu rakan dalam kesusahan.

Anak jati Sabah yang menyertai Program Paralimpik MSN pada 2011 berkata: “Apabila dia (Mohammad Azlan) sudah tiada, saya berasa agak sunyi kerana boleh dikatakan kami agak rapat terutama apabila turun berlatih sekali.

“Paling saya tidak boleh lupakan adalah kejayaan cemerlang Allahyarham meraih tiga pingat emas pada Sukan Para Asia 2014 di Korea Selatan,” katanya yang turut beraksi dalam acara lempar cakera.

Mohammad Azlan, 24, terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya bersama atlet lompat jauh paralimpik Farisan Jasna, 25, dilaporkan dilanggar van yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun, kira-kira 1.45 tengah hari.

Kejadian itu menyebabkan Mohammad Azlan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Farisan mengalami keretakan di tangan kanan dan kini dirawat di Hospital Serdang. - Bernama

25 Jan 2015


Tunai dua hajat terakhir anak

MUHAMMAD Azlan memenangi tiga pingat emas di Incheon, tahun lalu.

MAT Lazim (kiri) bersama isteri menaiki van jenazah.

AZLAN membersihkan rumahnya ketika program pasca banjir Atlet Prihatin. 

Chukai: Walaupun terkejut dengan pemergian anaknya, Mat Lazim Ali, 52, bapa pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia Incheon 2014 Muhammad Azlan Mat Lazim tetap akan menunaikan dua hajat anaknya yang tidak kesampaian.

Hajat pertama membawa isterinya menunaikan umrah dan kedua membeli rumah baru untuk mereka sekeluarga.

“Sebelum kejadian, dia menghubungi saya pada jam 11 pagi untuk bertanya khabar kami sekeluarga dan menyatakan hasratnya membeli rumah baru dan menghantar saya dan isteri mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah.

“Namun, tiga jam lebih selepas itu, saya terkejut menerima berita kejadian menimpanya. Saya reda dengan apa yang berlaku meskipun amat sedih,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam kejadian kelmarin, pemenang tiga pingat emas paralimpik di Sukan Asia Incheon Muhammad Azlan Mat Lazim dilaporkan terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Serdang Raya, Serdang, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu turut membabitkan seorang lagi atlet lompat jauh paralimpik negara, Farisan Jasna, 24, yang disahkan mengalami kecederaan ringan.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal Yamaha 125Z ditunggang mangsa dilanggar sebuah van jenis Toyota Hiace dari arah sama ketika keluar dari persimpangan menghala ke Lebuh Raya Bukit Jalil.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat manakala pemandu van iaitu lelaki berusia 43 tahun tidak cedera.

Pada temasya Para Asia di Incheon Oktober tahun lalu, Muhammad Azlan menampilkan aksi cemerlang apabila membawa pulang tiga emas menerusi acara 100 meter, 200m dan 400m lelaki kategori kecacatan T38 dan T36.

Jenazah Allahyarham Muhammad Azlan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabur Kubur jam 1 pagi, semalam.

myMetro 26 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment