January 24, 2015

‘Tolong wei....tolong wei...’

KAWAN mangsa, Mohd Sharizal Mat Radi (kiri) dan Syawal menunjukkan rakaman suara dirakam oleh rakan mangsa yang terselamat. Gambar kecil, anggota bomba memeriksa kenderaan mangsa.

Kuala Kangsar: “Tolong wei...tolong wei...aku dengan Joe kemalangan ni...Joe dah meninggal...dah meninggal...Ya Allah..,” itulah mesej suara yang dikirim Muhammad Nasrullah Abd Ghaffar, 29, yang dikirim melalui WhatsApp kepada rakan serumahnya, Syawal Ibrahim, 25, yang berada di Ipoh, dekat sini.

Muhammad Nasrullah yang cedera akibat melecur apabila kereta Honda Civic dipandu rakannya, Joeri Ramli, 34, terbakar akibat diseret treler di Kilometer 254.8 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, semalam menghantar pesanan itu sebaik berjaya keluar menyelamatkan diri dari kereta yang sedang terbakar.

Joeri rentung di tempat duduk pemandu selepas gagal keluar kerana tersepit apabila kereta itu terbakar dan menerusi mesej 11 saat yang dikongsi Syawal kepada media itu, boleh kedengaran tangisan Muhammad Nasrullah.

Syawal yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, di sini, semalam, berkata, dia amat terkejut mendengar mesej suara dikirimkan Nasrullah.

“Sebelum mereka keluar rumah, Joeri dan Nasrullah mengejutkan saya dari tidur memberitahu akan ke Gerik atas urusan kerja.

“Bagaimanapun kira-kira jam 9 pagi, saya menerima mesej suara dari Nasrullah itu memberitahu mereka terbabit kemalangan, malah memberitahu Joeri meninggal dunia,” katanya.

Muhammad Nasrullah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dekat sini.

Sementara itu, ibu mangsa, Sharifah Saad, 66, yang menghidap penyakit darah tinggi hampir pitam sejurus melihat mayat anaknya ketika pengecaman, namun berjaya ditenangkan ahli keluarga.

“Dia anak paling manja dengan saya berbanding enam adik-beradiknya yang lain. Saya reda dengan pemergiannya dan jenazahnya akan dikebumikan di sebelah kubur ayahnya di Kampung Depan Balai, Bagan Serai yang meninggal dunia juga pada bulan Januari 2011 akibat kanser usus,” katanya.

Ketika kejadian, Joeri yang bekerja di Sabah dengan syarikat penapis air sedang bercuti dan tinggal bersama rakan serumahnya itu sebelum berpindah kerja ke Perak bulan depan.

Menurut Sharifah, kali terakhir dia berjumpa dengan anak ketiganya itu pada Hari Raya Adil Adha, kira-kira dua bulan lalu.

myMetro 23 Jan 2015


Diseret treler 100 meter

KERETA terbabit kemalangan terbakar.


Kuala Kangsar: Kereta dipandu Joeri Ramli, 34, yang rentung dalam kemalangan di Kilometer (KM) 254.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, semalam, diseret treler membawa muatan besi seberat 60 tan sejauh kira-kira 100 meter sebelum terbakar.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi, treler itu merempuh dua kenderaan lain sebelum menyeret kereta Honda Civic hingga terbakar menyebabkan Joeri Ramli, 34, rentung selepas tersepit dan gagal menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, rakannya yang duduk di sebelahnya, berjaya keluar menyelamatkan diri, tetapi parah akibat melecur di beberapa bahagian badan.

Pemandu treler jenis Volvo yang melarikan diri sejurus kejadian tidak cedera. Turut selamat kelindannya dan pemandu dua lagi kereta terbabit dalam kemalangan ngeri itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh berkata, siasatan awal mendapati Joeri bersama seorang rakan dalam perjalanan dari Ipoh ke Gerik, atas urusan kerja manakala treler itu dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang ke Pulau Pinang.

Menurutnya, mangsa yang maut berasal dari Bagan Serai, manakala rakannya dikenali sebagai Muhammad Nasrullah Abd Ghaffar, 29, tinggal di Ipoh dan kedua-duanya bekerja sebagai pemungut hutang syarikat penapis air.

“Siasatan mendapati ada kerja naik taraf pemasangan lampu jalan dilakukan di KM 256.9 arah utara dan lorong kiri ditutup menyebabkan lalu lintas menjadi perlahan.

“Treler itu memandu di lorong kiri di kawasan menuruni bukit selepas laluan ditutup membawa muatan 60 tan barangan besi. Ia dipercayai mengalami kerosakan brek menyebabkan ia hilang kawalan dan memasuki laluan kanan sebelum merempuh kereta dinaiki mangsa serta dua lagi kenderaan lain.

“Dua kenderaan lain yang dilanggar treler berkenaan terbabas ke kiri laluan manakala kereta mangsa diseret sehingga KM 254.8 iaitu sejauh kira-kira satu kilometer sebelum terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ghuzlan berkata, pemandu dan kelindan treler serta rakan mangsa sempat menyelamatkan diri manakala mangsa tersepit dalam kereta dipandunya dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat rentung.

“Kelindan treler yang berusia 39 tahun dan beralamat di Petaling Jaya, Selangor, mendakwa pemandunya dikenali sebagai Mohd Zaidi, 41, meninggalkan tempat kejadian sejurus kemalangan dan tidak dapat dihubungi.

“Polis menahan kelindan itu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

myMetro 23 Jan 2015


Pekerja swasta rentung, kemalangan di lebuh raya

Kereta yang terbakar menyebabkan mangsa rentung dan maut di tempat kejadian. Kereta yang terbakar menyebabkan mangsa rentung dan maut di tempat kejadian.

IPOH - Seorang pekerja di sebuah syarikat penapisan air rentung manakala rakannya cedera parah dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di KM254.8 Lebuh raya Utara-Selatan menghala utara, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh berkata, Mohd Joeri Ramli, 34, maut akibat tersepit, manakala rakannya Mohd Nasbullah Mohd Abdul Ghaffar, 28, cedera parah dalam kejadian pada 9.30 pagi itu.

Katanya, kejadian berlaku apabila sebuah lori jenis Volvo yang membawa muatan 60 tan barangan besi hilang kawalan ketika cuba mengelak penutupan lorong sebelah kiri lebuh raya berkenaan.

"Rentetan itu, lori berkenaan telah memasuki lorong kanan sebelum merempuh tiga kenderaan lain termasuk kereta Honda Civic yang dipandu Mohd Joeri," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, kereta mangsa yang diseret sejauh satu kilometer musnah terbakar manakala mangsa dalam kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Ghuzlan, pemandu lori bertindak melarikan diri dan polis menahan kelindannya yang cedera ringan bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat manakala rakannya mendapat rawatan di Hospital Ipoh. - Bernama

22 Januari 2015


Terkilan tidak sempat jumpa anak

Zulkifli (kiri) menunjukkan gambar terakhir arwah Joeri bersama keluarga sambil diperhatikan Sharifah (tengah).

Joeri Ramli - Foto Utusan

BAGAN SERAI - “Makcik rasa terkilan sikit sebab tak sempat jumpa arwah yang baru pulang dari Sabah empat hari lepas dalam keadaan masih hidup.” Luah ibu Joeri Ramli, 34, yang rentung selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah treler di Kilometer 254.8, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora, kelmarin.

Sharipah Saad, 66, anaknya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat alat penapisan air sebelum ini ditugaskan di Sabah selama setahun setengah sebelum ditukarkan ke Ipoh minggu lalu.

Menurutnya, dia dan keluarga lain tidak tahu mangsa sudah berpindah ke Ipoh sejak empat hari lalu dan hanya mengetahuinya selepas kemalangan itu.

“Kali terakhir kami sekeluarga jumpa arwah Aidiladha lalu dan arwah juga ada telefon saya beritahu dia akan pindah ke Ipoh bulan ini, tetapi tidak tahu bila.

“Saya tidak sangka arwah sudah balik sini. Lebih menyedihkan, rakan-rakan yang tinggal serumah dengannya di Ipoh beritahu saya yang arwah mahu terus pulang ke rumah menemui kami sekeluarga selepas selesai urusan kerja di Grik sebelum kejadian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Depan Balai, di sini, semalam.

Mahu bertunang Ogos depan

Abang sulung mangsa, Zulkifli Ramli, 38, berkata, Allahyarham Joeri pernah menyatakan hasratnya untuk melangsungkan pertunangan bersama pilihan hatinya Ogos depan.

Menurutnya, pertukaran tempat kerja dari Sabah ke Ipoh juga dipercayai atas permintaan arwah untuk memudahkan urusan majlis pertunangan dan perkahwinan.

“Sepanjang hidupnya, arwah sangat disenangi ahli keluarga dan rakan-rakan kerana sifatnya yang suka bergurau dan sayangkan anak saudara.

“Sepanjang arwah di Sabah, dia akan hubungi saya sekurang-kurangnya sebulan sekali bertanya keadaan ibu dan ahli keluarga.

“Pemergiannya amat mengejutkan kami sekeluarga dan kami berdoa arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.

Jenazah Allahyarham Joeri dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Jeti, di sini, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Perakam video mohon maaf

Dalam pada itu, Sinar Harian dimaklumkan, individu yang merakam video kemalangan itu tampil memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa.

Zulkifli berkata, lelaki berkenaan menemui keluarganya di Hospital Kuala Kangsar kelmarin dan mengaku merakamkan video berdurasi 40 saat itu hingga menjadi viral di laman sosial.

Menurutnya, mereka sekeluarga tidak kecil hati apatah lagi berasa terkilan dengan penyebaran video berkenaan, asalkan ia tidak mengaibkan arwah.

“Pemilik video cakap dia tidak dapat nak tolong sebab api marak dengan cepat, dia terangkan, dari jauh dia hanya dapat jerit suruh arwah mengucap, lagipun dia sudah datang minta maaf pada kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh berkata, pemandu treler berusia 41 tahun yang terbabit dalam kemalangan itu disahkan positif dadah metamphetamine.

Katanya, keputusan itu diperoleh hasil saringan ujian air kencing setelah lelaki itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, kira-kira jam 8.40 malam kelmarin.

“Lelaki itu melarikan diri selepas kemalangan tersebut dan mungkin membuat keputusan menyerah diri selepas menerima nasihat daripada orang-orang tertentu.

“Lelaki itu kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini (semalam) dan siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 24 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment