January 24, 2015

4 sekeluarga, kenalan kemalangan

Kenderaan pelbagai guna dinaiki lima mangsa remuk akibat rempuhan dengan treler. Gambar kecil: Muhammad Asyran

Anggota bomba terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan Narizah yang tersepit.

SUNGAI PETANI – Niat seorang pemuda yang mahu menghabiskan masa bersama keluarga rakannya di Kedah tidak kesampaian apabila maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 107.2, Lebuhraya Utara Selatan, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Asyran Mohd Najib, 24, dari Bandar Baru Temerloh, Pahang dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah Mohd Fauzan Mohamad Zaini, 24, di Taman Mahsuri, Jitra, Kedah.

Bagaimanapun, kenderaan pelbagai guna jenis Nissan Grand Livina yang dinaiki mangsa bersama keluarga Mohd Fauzan dikatakan merempuh sebuah treler berdekatan susur keluar Plaza Tol Sungai Petani Selatan.

Rempuhan menyebabkan kenderaan dinaiki lima mangsa itu diseret sejauh kira-kira 200 meter mengakibatkan Muhammad Asyran maut di lokasi kejadian.

Ibu Mohd Fauzan, Narizah Ismail, 55, terperangkap lebih sejam sebelum anggota bomba berjaya mengeluarkannya akibat tersepit.

Adik Narizah, Nordin Ismail, 54, berkata, dia terkejut apabila mendengar berita kemalangan yang membabitkan ahli keluarganya itu.

“Saya juga terkejut apabila mendapat tahu seorang rakan anak saudara yang mengikut keluarga pulang, meninggal dunia dalam kemalangan ini,” katanya.

Menurutnya, Mohd Fauzan merupakan seorang pelajar di Universiti Kuala Lumpur.

Dua lagi mangsa, Mohamad Zaini Zainol Abidin, 55, (suami Narizah) dan Naufal, 18 (anak Narizah) berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin mengesahkan kematian.

Menurutnya, siasatan lanjut berhubung kejadian akan dijalankan.

Sinar Harian 23 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment