December 20, 2014

Telefon sebelum bunuh

Gombak: Seorang bekas pekerja ladang sempat membuat panggilan telefon kepada ibu saudaranya sebelum ditemui mati ditetak di seluruh tubuh.

Dalam kejadian jam 3 petang semalam, mayat mangsa berusia 44 tahun ditemui di Batu Arang di sini, oleh seorang pengawal ladang dalam keadaan berlumuran darah.

Sumber polis berkata, mangsa sebelum itu ada menghubungi ibu saudaranya yang bekerja di ladang berkenaan pada jam 1.30 petang serta memberitahu mahu menjemput pulang wanita itu.

Menurutnya, mangsa dikatakan tiba awal ke ladang berkenaan, namun terpaksa menunggu sehingga jam 5 petang berikutan ibu saudaranya belum habis bekerja.

“Mangsa kemudian mengambil keputusan untuk memancing ikan di sebuah kolam berhampiran ladang berkenaan.

“Bagaimanapun mangsa kemudian ditemui mati oleh pengawal keselamatan di ladang itu. Mangsa dipercayai mati selepas ditetak di bahagian belakang kepala,” katanya.

Menurutnya, mangsa turut ditetak ditubuh dipercayai dilakukan lebih dari seorang suspek.

“Mangsa tidak mempunyai sebarang pekerjaan sebaik berhenti kerja di ladang kelapa sawit berkenaan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian bunuh itu dan berkata pihaknya sedang memburu suspek berdasarkan maklumat forensik dan keterangan saksi.

Beliau berkata, mayat mangsa kini dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

myMetro 20 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment