December 20, 2014

Suami seterika muka isteri

Kuala Lumpur: Bukan sahaja dibelasah malah seorang wanita cedera selepas mukanya ditekap dengan seterika panas oleh suami.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin, mangsa berusia 29 tahun diserang suami ketika berada di kediaman mereka di Jinjang di sini.

Sumber berkata, suami mangsa dikatakan mengamuk selepas mereka berselisih faham berhubung isu kecil.

“Pertengkaran bertukar ganas apabila suami mangsa gagal mengawal kemarahan sebelum bertindak menghamburkan kata-kata kesat.

“Suspek kemudian bertindak menampar dan menumbuk muka isterinya itu berulang kali,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, suspek turut bertindak kasar menendang isterinya itu dan menolak mangsa hingga jatuh sebelum diludah.

“Malah suspek yang bagaikan dirasuk setan turut mengambil seterika yang masih panas dan cuba menekap alat itu ke muka isterinya.

“Suspek yang puas membelasah isterinya kemudian melarikan diri sejurus selepas kejadian. Akibat kejadian itu mangsa lebam di muka dan seluruh badan,” katanya.

Bimbang kejadian sama berulang mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Jinjang di sini, untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

myMetro 20 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment