December 20, 2014

Pekerja kedai besi noda anak tiri dijel 12 tahun


Ampang: Seorang pekerja kedai besi menerima pembalasannya apabila dipenjara 12 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku salah merogol anak perempuan tirinya berusia 12 tahun, Disember lalu.

Hakim Unaizah Mohd menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 34 tahun itu dan memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 12 Disember lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun lapan bulan di sebuah rumah di Cheras dekat sini, pada jam 4 petang, 10 Disember 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Nur Akmal Farhan dan S Purnima manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya berkata, dia hidup susah dengan pendapatan RM2,000 sebulan selain mempunyai tiga orang anak kandung bersama ibu mangsa dan memohon hukuman ringan kerana sudah bertaubat atas kesalahan itu.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa membuat laporan polis memaklumkan anaknya memberitahu dirogol tertuduh sejak Disember 2013 sehingga 10 Disember lalu ketika tiada orang di rumah mereka.

Pemeriksaan oleh pegawai perubatan Hospital Ampang mendapati kemaluan mangsa menunjukkan terdapat kesan koyakan lama dengan tujahan benda tumpul dan tertuduh ditangkap pada 12 Disember lalu.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan melakukan perbuatan luar tabii terhadap anak perempuan kandungnya berusia tiga tahun 10 bulan di tempat yang sama, jam 4 petang pada 10 November 2014.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 20 Januari depan untuk tertuduh melantik peguam.

myMetro 20 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment