December 18, 2014

Jentolak ‘cabut’ tinggal pemandu tersepit

ANGGOTA bomba mengeluarkan Abdul Ghani yang tersepit.

Melaka: Hasrat seorang lelaki membeli keperluan harian di pasar awam terbantut apabila kereta dipandunya merempuh belakang sebuah jentolak dalam kejadian di Jalan Kampung Sungai Putat, Bukit Beruang, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, kejadian jam 5.50 pagi itu berlaku apabila mangsa, Abdul Ghani Ithnin, 50, yang beralamat di Kampung Baru, Bukit Beruang, memandu kereta Perodua Kancil dari arah Sungai Putat ke Bukit Beruang sebelum merempuh bahagian belakang sebuah jentolak yang sedang bergerak di laluan sama.

Bagaimanapun, pemandu jentolak itu terus beredar dari lokasi kejadian tanpa menghiraukan mangsa yang tersepit dalam kereta yang remuk.

Sumber berkata, kejadian itu disedari seorang pengguna jalan raya dikenali Munir Samad, 30-an, yang mendakwa melihat mangsa dalam keadaan separuh sedar dan tersepit di tempat duduk pemandu.

“Beberapa pengguna jalan raya lain cuba mengeluarkan mangsa, namun gagal sebelum mereka menghubungi anggota bomba dan penyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” kata sumber itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Penolong Kanan Penguasa Bomba Wan Azlan Wan Abdul Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 6.02 pagi dan tiba lima minit kemudian.

“Seramai tujuh pegawai dan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan 1 Hairulnizam Redhuan tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa masih berada dalam kenderaan dengan kaki kanannya tersepit.

“Anggota kami dapat mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit kurang dari lima minit namun terpaksa menunggu pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Melaka Tengah untuk memberi rawatan kecemasan,” katanya.

myMetro 18 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment