December 18, 2014

Dua rakan sekerja maut nahas babit 5 kenderaan

Dua rakan sekerja maut dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kereta dan sebuah treler di KM250.1 Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 6.40 pagi tadi berhampiran hentian sebelah Senawang dekat Seremban hari ini.- Foto Bernama

SEREMBAN - Dua rakan sekerja maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 250, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah ke utara dekat sini pagi tadi.

Mereka dikenali sebagai Ahmad Azlan Zakaria, 25, dan rakannya Mastura Abd Karim, 34, yang meninggal di tempat kejadian yang berlaku kira-kira 6.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata mereka merupakan penumpang kenderaan pelbagai guna Perodua Alza yang terbabit dalam  kemalangan itu.

Beliau berkata mayat mereka dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini. Katanya tiga lagi cedera dalam kemalangan yang turut membabitkan kereta Proton Saga FLX, Perodua Alza, Nissan Almera dan dua buah treler.

"Kemalangan berlaku apabila Proton Saga FLX yang dipandu seorang lelaki dilapor hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah treler yang membawa minyak pelincir sehingga menyebabkan Proton Saga FLX terbabit terbalik di lorong  kanan.

"Pada masa yang sama, Perodua Alza yang dipandu di belakang Proton Saga FLX itu cuba mengelak, namun melanggar bahagian belakang sebuah lagi treler di lorong paling kiri.

"Ketika itu juga Nissan Almera yang datang dari arah belakang yang cuba mengelak kesemua kenderaan berkenaan, turut terbalik di lorong tengah,"katanya.

Muhamad Zaki berkata yang cedera ialah seorang penumpang Proton Saga FLX yang kepalanya dipercayai bergeser pada permukaan jalan, pemandu Proton  Saga FLX dan pemandu Perodua Alza.

Beliau berkata kemalangan mengakibatkan kesesakan sepanjang dua kilometer. Sementara itu Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, MohdFazli Jamaludin berkata pihaknya membantu mengeluarkan mangsa yang meninggal dan  tersepit dalam kenderaan mereka. - Bernama

18 Dis 2014


Dua sahabat maut

Seremban: Dua sahabat maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 250, Lebuhraya PLUS, arah utara, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, mangsa, Mastura Abd Karim, 35 dan Ahmad Azlan Zakaria, 25 meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kedua-dua mangsa yang juga ejen insurans bersama dua lagi rakan mereka dalam perjalanan ke Kuala Lumpur menaiki Perodua Alza untuk bertemu pelanggan sebelum mengelak sebuah kereta Proton Saga FLX yang terbabit kemalangan dengan sebuah treler.

“Kereta Proton Saga itu terbalik di lorong kanan menyebabkan pemandu Alza mengelak ke kiri dan melanggar sebuah lagi treler. Sebuah lagi kereta Nissan Almera dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun cuba mengelak melanggar kenderaan berkenaan dan terbabas di tengah jalan.

“Akibat perlanggaran itu, dua penumpang Alza meninggal dunia, manakala pemandu dan seorang lagi penumpang cedera. Pemandu Proton Saga yang terbalik, parah, manakala pemandu Nissan Almera, cedera,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, di sini, untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 18 Dis 2014


‘Jadi anak baik’

DUA anak mangsa tidak dapat menahan sebak ditenangkan ahli keluarga lain ketika menunggu di luar Bilik Mayat Hospital Tuanku Jaafar.

Seremban: “Baru semalam (kelmarin) kami membeli banyak perabot kerana rumah di Melaka yang sedang diubah suai akan siap tidak lama lagi,” kata Moed Salleh, suami kepada Allahyarham Mastura Abd Karim yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 250, Lebuhraya Utara-Selatan , arah utara berhampiran Senawang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, Mastura dan seorang lagi rakan, Ahmad Azlan Zakaria, 25, maut apabila Perodua Alza dinaiki merempuh belakang sebuah treler ketika mengelak Proton Saga yang terbalik di kanan laluan.

Difahamkan, Mastura, Ahmad Azlan dan dua lagi rakan, Mohd Khaire Fazlie Shah, 25, serta Amran Azmi, 22, yang bekerja sebagai ejen insurans dalam perjalanan bertemu pelanggan di Bangi, Selangor.

Moed, 53, berkata, sebelum keluar rumah jam 6 pagi semalam, Allahyarham meminta dia menggosok baju dan mengisi penuh minyak kereta selain menasihatkan tiga anak berusia antara empat dan 14 tahun supaya menjadi anak yang baik.

“Ketika berada di rumah di Taman Semabok, Melaka, saya menerima panggilan jam 8 pagi tadi (semalam) menyatakan isteri meninggal dunia akibat kemalangan,” katanya yang ditemui di Hospital Tuaku Ja’afar (HTJ) di sini, semalam.

Rakan sekerja Allahyarham Mastura yang mahu dikenali sebagai Anne, 27, berkata, Mastura lebih lama bekerja di syarikat insurans, namun mereka begitu akrab.

“Saya juga sepatutnya mengikut mereka ke Bangi, tetapi diganti Ahmad Azlan kerana saya ditukarkan dengan kumpulan lain,” katanya.

Anne berkata, apa yang menyebabkan dia terkilan dan sedih ialah Allahyarham Ahmad Azlan akan melangsungkan perkahwinan pada Mac tahun hadapan.

myMetro 19 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment