December 18, 2014

Berdentum di selekoh

ANGGOTA polis memeriksa kereta yang dinaiki empat yang terbabit kemalangan.

Balik Pulau: “Sebelum kejadian saya berselisih dengan kereta dinaiki mangsa yang bergerak laju dan beberapa minit kemudian, saya terdengar bunyi brek diikuti dentuman kuat.

“Sejurus tiba di kawasan selekoh, saya tergamam melihat kereta itu remuk teruk di bahu jalan,” kata Mohd Ramzi Yahaya, 40, yang menyaksikan kemalangan di Jalan Permatang Damar Laut, di sini, yang meragut satu nyawa manakala tiga lagi cedera, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8.35 malam itu berlaku ketika Proton Iswara Aeroback dipandu Mohd Yusri Abdullah, 20, dari arah Bayan Lepas, sedang menghala ke Batu Maung.

Kereta berkenaan dipercayai dipandu laju terbabas di selekoh berkenaan menyebabkan ia memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan treler.

Mohd Yusri mati di tempat kejadian, manakala penumpang, Noor Fatin Jamail, 16, dan Muhamad Husyayaini Hashim, 20, cedera ringan, manakala Nur Aimifazirah Rahtemee, 20, cedera parah dan mereka dikejarkan ke Hospital pulau Pinang (HPP).

Mohd Ramzi berkata, dia yang menunggang motosikal berhenti untuk membantu mangsa yang tersepit di dalam kereta itu.

“Saya bersama beberapa lagi pengguna jalan raya, berlari ke arah kereta berkenaan yang remuk teruk untuk membantu mangsa.

“Bagaimanapun, kami gagal mengeluarkan pemandu kerana kakinya tersangkut pada pedal dan terpaksa menunggu anggota bomba tiba tidak lama kemudian,” katanya.

Menurutnya, mereka mengeluarkan tiga penumpang yang ketika itu tidak sedarkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah timur Laut Superintendan Lai Fah Hin berkata, mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan meninggal dunia akibat parah di dada dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kami meminta kerjasama saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

myMetro 18 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment