December 18, 2014

Mayat dibungkus selimut

MAYAT yang ditemui belakang sebuah restoran makanan segera di Kota Sentosa di sini, pagi tadi.

Kuching: Mayat seorang wanita dibungkus dengan selimut ditemui di belakang sebuah restoran makanan segera di Kota Sentosa, di sini, jam 6.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Pauzi Bujang berkata, wanita berusia lingkungan 30-an itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum ditinggalkan di belakang restoran berkenaan.

Katanya, ada kesan cedera di kepala mangsa, manakala hidungnya berdarah dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

"Mayat dipercayai warga tempatan dan ketika ditemui memakai baju hitam, berseluar pendek dan mempunyai tatu di lengan kanan.

"Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

myMetro 18 Dis 2014


Suspek kes bunuh di Kota Sentosa direman tujuh hari

KUCHING: Seorang lelaki berumur 30 tahun direman tujuh hari untuk membantu siasatan kes bunuh di Kota Sentosa yang berlaku minggu lepas.

Pendaftar mahkamah Aida Montong membenarkan permohonan reman oleh pegawai penyiasat polis sehingga Selasa, 30 Disember untuk membantu polis menyiapkan dokumen siasatan.

Suspek diberkas sepasukan polis Bahagian Siasatan/Perancangan (D8) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di kediaman suspek di Tabuan Foochow sekitar 10 pagi semalam.

Mangsa, Dawina Dunstan, 30, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di mana mayatnya dibalut menggunakan selimut berhampiran tong sampah di bazar Kota Sentosa pada Khamis lepas.

Mendiang yang bekerja di Sabah, pulang bercuti ke kampung halaman sebelum dia hilang beberapa hari.

Dilaporkan, mangsa yang tinggal di Taman Seng Goon, berjalan ke pusat beli-belah di Jalan Tawi Sli untuk berjumpa rakan, namun gagal pulang ke rumah.

Mayat mangsa telah dikenal pasti oleh keluarganya dan bedah siasat dijalankan pada Isnin lalu.

Motif insiden itu masih dalam siasatan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan lelaki itu direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Suspek tidak diwakili peguam ketika dibawa ke mahkamah semalam.

Utusan Borneo 24 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment