December 20, 2014

Dipenjara sehari curi makanan

Melaka: Seorang wanita dipenjara sehari serta didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai makanan dan barangan keperluan termasuk lampin pakai buang bernilai hampir RM400 di pusat beli belah Oktober lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Firdaus Saleh ke atas Fairuz Nurhikmah Ali, 28, dari Kandang di sini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri pelbagai jenis barangan bernilai RM398.60 di AEON Bandaraya, Jalan Panglima Awang di sini pada 5.10 petang, 10 Oktober lalu.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Antara barangan yang dicuri termasuklah syampu, susu, lampin pakai buang, perapi rambut, keju, ubat gigi, telur ayam, kacang dal, rempah ratus dan gula pasir.

myMetro 19 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment