November 28, 2014

Jaket labuh belit tayar

MANGSA terjatuh dan tangannya tersepit selepas jaket dipakai tersangkut pada rim tayar. FOTO ihsan bomba

Butterworth: Jaket besar dan labuh yang dipakai menyebabkan seorang budak lelaki terpaksa menanggung azab hampir 15 minit apabila jaket itu tersangkut dan mengakibatkan tangannya tersepit dalam rim tayar motosikal ditunggang bapanya di Jalan Raja Uda, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, Lim You Han, 10, merintih menahan sakit selepas jaket berkenaan tersangkut pada rim motosikal menyebabkan dia terjatuh dan terseret.

Difahamkan, dua beranak itu dalam perjalanan ke sebuah restoran untuk bersarapan.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Butterworth berkata, mangsa memakai jaket besar sebelum bahagian kiri jaket tersangkut pada tayar menyebabkan dia terjatuh.

“Mangsa bernasib baik kerana bapanya sempat memberhentikan motosikal sejurus dia menjerit ketika terjatuh.

“Beberapa jari mangsa tersepit pada rim tayar motosikal berkenaan sebelum bapanya meminta bantuan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, orang awam yang melihat kejadian itu memberikan bantuan dan selepas hampir 15 minit berusaha mereka berjaya mengeluarkan tangannya yang tersepit di celah rim terbabit.

“Mangsa ketika itu hanya mampu merintih menahan sakit sambil ditenangkan bapanya dan dia kemudian dihantar ke hospital swasta untuk rawatan lanjut.

“Keadaan kanak-kanak itu stabil dan dia hanya luka di jari tangan kiri dan kaki kirinya,” katanya.

Menurutnya, bomba menerima panggilan pada jam 7.45 pagi dan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati tangan mangsa berjaya dikeluarkan daripada rim tayar motosikal terbabit dengan bantuan orang awam.

“Mangsa bernasib baik kerana menjerit sejurus terjatuh daripada motosikal dan jika tidak mungkin keadaannya akan menjadi lebih teruk kerana diseret motosikal ditunggang bapanya itu,” katanya.

myMetro 28 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment