November 28, 2014

Mencari Membunga

ZUHANA menunjukkan laporan polis dibuatnya.

Gua Musang: “Hampir setiap malam, saya tidak dapat tidur mengenangkan nasib ibu yang hilang sejak sembilan hari lalu,”kata Zuhana Salleh, 33, anak kepada Che Membunga Che Awang, 55, yang hilang sejak 19 November lalu.

Dalam kejadian jam 1.20 petang itu, Che Membunga yang menghidap penyakit mental dipercayai keluar dari rumah di Perumahan Bandar Utama di sini ketika anaknya, Zuhana sedang sibuk mengangkat barang dari kereta ke dalam rumah.

Zuhana berkata, dia cuba mencari di kawasan sekitar namun gagal ditemui.

“Penduduk di Kampung Batu 2 Kuala Nerus memberitahu ada ternampak seorang wanita warga emas tidak dikenali pada petang hari yang sama berjalan seorang diri melalui landasan kereta api menuju ke Kampung Batu Lima namun apabila saya ke sana, wanita berkenaan sudah tiada.

“Hampir setiap hari saya mencarinya dengan bantuan anggota polis, tetapi sehingga hari ini masih buntu,” katanya.

Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis itu berkata, dia bersama suaminya Rahimi Yusoff, 35, membawa ibunya dari kampung untuk tinggal bersama di Bandar Utama itu sejak setahun lalu kerana bimbang dengan kesihatan wanita itu.

“Di rumah, kebiasaannya saya akan mengunci semua pintu dan tingkap kerana situasi ibunya yang tidak sihat.

“Pelbagai perkara bermain dalam fikiran saya, termasuk makan minumnya dan paling penting keselamatannya ,”katanya.

Katanya, dia sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang pada 21 November lalu iaitu selepas tiga hari berlaku kehilangan dan anggota polis juga sudah melancarkan gerakan mencarinya.

Zuhana meminta orang ramai yang menemui ibunya supaya menghubunginya di talian 019-9075198 atau balai polis Berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan wanita warga emas itu.

myMetro 28 Nov 2014


Wanita sakit mental yang hilang ditemui selamat

GUA MUSANG - Seorang wanita sakit mental yang hilang dari rumahnya di Perumahan Bandar Utama di sini sejak 19 November lalu dijumpai selamat dalam ladang sawit di Kampung Batu 2 Kuala Nerus di sini, hari ini.

Che Membunga Che Awang, 55, dijumpai seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) pada pukul 8.30 pagi kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Anak wanita berkenaan, Zuhana Salleh, 33, berkata, beliau bersyukur ibunya ditemui dalam keadaan selamat walaupun tidak bermaya kerana tidak makan dan minum selama 10 hari.

"Saya menitis air mata terlampau gembira apabila dimaklumkan ibu saya yang hilang dari rumah sejak 19 November lalu dijumpai dalam keadaan selamat dan terus ke tempat itu sebaik menerima panggilan telefon daripada anggota Rela terbabit.

"Sebaik saya tiba di tempat ibu dijumpai dalam ladang sawit itu, ibu terus meminta nasi kerana terlalu lapar berikutan 10 hari hilang dari rumah dan ibu terus dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

29 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment