November 27, 2014

Empat dicari bantu siasatan curi lori

Mohamad Mukmin, Vikneswaran, Dalbir Singh, Ramu 

IPOH – Polis sedang menjejaki empat individu bagi membantu siasatan pelbagai kes curi dan lerai komponen lori.

Individu terbabit adalah Mohamad Mukmin Ibrahim Basri, 25 dan S Ramu, 46, masing-masing berasal dari Ipoh serta Dalbir Singh, 31, (Sungai Puyu, Butterworth) dan P Vikneswaran, 28 yang berasal Prai, Pulau Pinang.

Mereka dicari selepas polis berjaya menemui semula enam lori pelbagai jenama yang dipercayai dicuri daripada Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dalam empat serbuan yang dijalankan sekitar Batu Gajah dan Ipoh sejak dua minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam berkata, tujuh kepala lori turut ditemui dalam serbuan yang dilakukan di Kawasan Perindustrian IGB Tasek, Kampung Tawas pada 15 November lalu.

“Siasatan susulan mendapati lori-lori terbabit dilaporkan hilang di Machang Bubok, Bukit Tambun, Sungai Wei dan Cheras. Sebuah lori jenis Daihatsu masih disiasat selepas nombor enjin dan casis telah diubahsuai,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Pasir Puteh di sini, semalam.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua dan pacuan empat roda Toyota Hilux yang digunakan suspek dalam aktiviti berkenaan membabitkan rampasan bernilai antara RM600,000.

Kata Paramasivam, enam suspek berusia 19 hingga 36 tahun berjaya ditahan ketika mereka sedang memunggah enjin lori di sebuah ladang ayam di Kampung Jelutong, Batu Gajah.

“Kesemua mereka sedang dalam tahanan reman sehingga 26 November ini untuk melengkapkan siasatan dan pembabitan mereka dalam pelbagai kes di negeri ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun kumpulan bersenjata,” katanya.

Sinar Harian 25 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment