November 27, 2014

Ijazah mangsa MH17

HABIBAH (kanan) dan anaknya, Azlin melihat ijazah diterima mewakili Azrina 

Shah Alam: “Perasaan saya bercampur baur, hiba, gembira dan sedih, kerana sepatutnya dia yang berdiri di atas pentas untuk menerima ijazah dan bukannya saya,” kata Habibah Ismail, 65, yang menerima ijazah bagi pihak anaknya, Allahyarham Azrina Yakob, 41, yang terkorban dalam tragedi MH17.

Azrina yang juga pramugari MAS mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan berjaya menamatkan pengajiannya.

Allahyarham sepatutnya menyertai Istiadat Konvokesyen UiTM ke-81, semalam, namun hanya Habibah yang mewakilinya di hari bersejarah semalam.

Habibah berkata, walaupun Azrina tiada di dalam dewan berkenaan untuk sama-sama menyambut hari bahagia berkenaan, dia tetap bangga dengan kejayaan anaknya.

“Namun dalam masa sama, saya agak terkilan apabila mengenangkan kejadian yang berlaku terhadap Azrina sebelum sempat dia merasai kejayaannya ini selepas berhempas pulas menyambung pengajian walaupun masih bekerja.

“Pihak UiTM menghubungi keluarga kami dan meminta wakil supaya hadir ke majlis konvokesyen berkenaan bagi menerima ijazah hasil usaha arwah ketika menuntut di UiTM dan saya sebagai ibu, saya mengambil keputusan untuk hadir pada hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui dalam Istiadat Konvokesyen ke-81, di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), di sini, semalam.

Menurut Habibah, anak kedua daripada empat beradik berkenaan menyambung pelajaran secara Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di UiTM memandangkan Azrina masih bekerja sebagai pramugari di Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Sambil menitiskan air mata menahan sebak, Habibah menyifatkan anaknya itu seorang yang petah bercakap serta suka bergurau dengan ahli keluarga dan kehilangannya sehingga kini begitu dirasai.

Istiadat konvokesyen yang berlangsung semalam menyaksikan seramai 1,042 penuntut UiTM menerima ijazah masing-masing yang disempurnakan oleh Pro Canselornya Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad.

myMetro 27 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment