November 27, 2014

Buru suspek samun warga emas

Abdul Rahman menunjukkan lakaran wajah suspek yang diburu.

KANGAR - Polis kini giat memburu seorang lelaki berusia 30-an selepas dipercayai terlibat dalam lima kes menyamar sebagai polis sebelum menyamun mangsanya yang terdiri warga emas.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, suspek yang berpakaian kemas dan lagak seperti anggota polis akan meminta kad pengenalan bagi membuat pemeriksaan sebelum merampas beg duit mangsa.

Katanya, lelaki ini kemudiannya meminta mangsa supaya menuntut beg duit di Balai Polis Kangar dan mengajak mangsa pergi bersama-sama ke balai polis sebelum  menghilangkan diri di pertengahan jalan dengan motosikal yang ditunggangnya.

“Modus operandi lelaki ini sama bagi lima kes ini dan mangsanya adalah warga emas yang berusia 58 hingga 72 tahun.

“Kes pertama berlaku pada 30 Oktober lalu melibatkan kerugian RM620 di Taman Sri Bintong Maju, Jalan Wang Ulu manakala kes kedua berlaku pada 3 November lalu apabila seorang warga emas berusia 66 tahun disamun sebanyak RM210 di Jalan Padang Petani, Behor Pulai,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, seorang lagi mangsa berusia 58 tahun pula kerugian RM993 ketika dalam perjalanan ke Pasar Borong dari rumahnya di Kampung Bakau pada 5 November lalu.

Menurutnya, pada 16 November lalu pula, suspek menyamun seorang warga emas berusia 67 tahun di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Khoon Aik di Jalan Raja Syed Alwi sebanyak RM1,300.

“Semalam (kelmarin), seorang lagi mangsa berusia 70 tahun kerugian RM400 di Jalan Tok Kuning dan itu merupakan kes terbaru yang kami percaya dilakukan oleh suspek yang sama.

“Polis harap sesiapa yang pernah menjadi mangsa samun suspek terbabit diminta tampil untuk membuat laporan di balai polis terdekat,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rahman meminta orang ramai supaya berhati-hati apabila didatangi individu yang mengaku sebagai polis dan bagi mengelak dari ditipu, orang awam berhak melihat kad kuasa anggota polis terbabit.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Sinar Harian 27 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment