November 27, 2014

Angin berpusar dalam rumah

Datuk Ariffin Man (tengah) melawat rumah milik Mohd Rizuan Mohd Alias apabila bumbung rumahnya diterbangkan oleh puting beliung pada petang semalam. 

POKOK SENA - Dua keluarga dari Kampung Tanjung Musang, Mukim Jabi dekat sini melalui detik cemas apabila bumbung rumah mereka diterbangkan ribut puting beliung, petang semalam.

Mangsa, Nurul Alia Mohd Rizuan, 14, berkata, hanya dia dan adiknya, Alif Haikal, 6, sahaja berada di rumah.

"Saya peluk adik kerana takut dengan bunyi ribut dan takut bumbung rumah runtuh. Saya nampak ada pokok tumbang.

"Selepas mak dan abah balik barulah kami keluar. Saya nampak bumbung dan dinding rumah rosak enam pokok getah belakang rumah tumbang,” katanya yang tinggal di rumah sumbangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).

Bagi Nik Omar Nik Ali,67, pula, dia ternampak puting beliung itu masuk ke rumahnya dan berpusar beberapa minit di ruang tamu rumah.

"Karpet saya terbang. Sebab terlalu takut saya laungkan azan beberapa kali.

"Lepas kejadian, saya tengok lima keping zink rumah terbang 200 meter," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Umno Pokok Sena, Datuk Ariffin Man berkata, dengan keadaan cuaca tidak menentu sekarang, orang ramai diingatkan supaya berwaspada.

“Saya mohon Keda kaji semula struktur binaan rumah sumbangan pihak berkenaan dan adakah memenuhi syarat yang ditetapkan. Ia penting bagi memastikan rumah disediakan selamat didiami," katanya ketika memberi sumbangan kepada mangsa.

Sinar Harian 24 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment