November 27, 2014

Hidup derita tanpa MyKad

Maznah dan Mohd Noh menunjukkan dokumen sokongan seperti salinan surat beranak ketika ditemui di rumah mereka di Taman Kota Nelayan. 

KUALA KEDAH - Walaupun terpaksa berulang alik ke Sabah, namun harapan Mohd Noh Palahuddin, 44, memiliki MyKad belum tertunai.

Mohd Noh berkata, dia dilahirkan di Kampung Air, Semporna pada 1970 dan memiliki surat beranak, namun tidak memiliki MyKad akibat kekangan tersendiri.

“Orang tua kurang berpelajaran. Oleh itu, mereka tidak tahu cara dapatkan pengenalan diri,” katanya ketika ditemui di Taman Kota Nelayan, di sini.

Katanya, dia menyedari masalah ketiadaan MyKad sejak di Sabah, namun mendakwa dinasihatkan membuat permohonan kad pengenalan di tempat bermastautin baru.

Menurutnya, dia sentiasa berusaha mendapatkan kad pengenalan selepas mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Maznah Taib, 47, di Alor Setar.

Bagaimanapun, katanya, dia dimaklumkan maklumat tidak lengkap dan perlu ke Semporna untuk mendapatkan beberapa dokumen diperlukan.

“Kali terakhir ke Sabah pada awal Januari untuk angkat sumpah, namun diminta menunggu kerana Mahkamah Majistret Semporna didakwa ditutup,” katanya.

Oleh itu, Mohd Noh rasa usahanya beberapa tahun ini sia-sia, sedangkan banyak wang dan masa dihabiskan.

Maznah berkata, suaminya agak tertekan akibat masalah dialami.

Menurutnya, dia terpaksa menyara kehidupan mereka sekeluarga hasil jualan kecil-kecilan, kerana suaminya kini tidak bekerja setelah jatuh sakit.

Kini, dia merayu permohonan mendapatkan MyKad dipermudahkan bagi meringankan beban hidup mereka sekeluarga.

Sinar Harian 22 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment