October 31, 2014

Mayat lelaki Myanmar lemas di Port Dickson ditemui


PORT DICKSON: Mayat seorang lelaki warga Myanmar yang dilapor hilang ketika mandi di Pantai Teluk Kemang dekat sini semalam, ditemui oleh pasukan bomba dan penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa hari ini.

Mayat Senakanu, 24, ditemui terapung kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

Komander operasi, Mohd Izwan Md Said dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang berkata, mayat mangsa ditemui pada 4.30 pagi semasa anggota pasukannya membuat rondaan di sekitar kawasan kejadian.

"Operasi mencari mangsa di kawasan persisiran pantai itu bermula 4 petang hingga 7 malam dan disambung 9 malam hingga pagi ini," katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

Dalam kejadian 3 petang semalam, mangsa sedang mandi bersama rakan-rakannya di kawasan itu apabila dia dikatakan terlepas daripada pautan pelampung menyebabkan dia tidak dapat mengawal diri sebelum lemas.

Difahamkan pengunjung lain nampak mangsa terkapai-kapai sebelum tenggelam dan hilang dari permukaan air.

Empat rakan mangsa cuba menyelamatkannya, namun gagal.

Seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Rembau, Mantin, Senawang dan Seremban 2, bersama empat bot menyertai operasi mencari dan menyelamat.

Turut serta dalam operasi itu ialah pasukan polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Baharudin Mustapha, ketika dihubungi, mengesahkan mayat mangsa ditemui.- BERNAMA

24 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment