October 31, 2014

2 rakan hilang sejak Ahad ditemui kemalangan


IPOH: Misteri kehilangan dua rakan yang dilaporkan sejak Ahad lepas, terungkai apabila seorang daripada mereka ditemui Orang Asli di sebuah ladang kelapa sawit dekat Bidor di sini semalam.

Mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 62.8 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Tanah Mas dekat Bidor.

Ketua Polis Daerah Tapah, ACP Som Sak Din Keliaw, berkata mereka ditemui beberapa Orang Asli pada 4.45 petang di ladang kelapa sawit itu yang terletak berdekatan tempat nahas.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang Ahad lepas, kereta yang dipandu A Nicholas Andrew, 33, dan dinaiki R Thiyagarajan, 34, terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam 20 meter.

"Akibat kejadian itu, Nicholas tercampak keluar dari kereta itu menyebabkan beliau patah tangan dan kaki manakala Thiyagarajan meninggal dunia kerana tersepit di dalam kenderaan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Som Sak berkata, Nicholas terpaksa merangkak menyusuri anak sungai sehingga ke ladang kelapa sawit itu selama tiga hari berikutan kecederaannya, sebelum ditemui Orang Asli berkenaan.

Mayat Thiyagarajan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat manakala Nicholas dirawat di hospital sama.

Ahad lepas, keluarga mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Noor Ahmad Sariff, berkata sebuah jentera dengan enam anggota dihantar ke tempat kejadian untuk membawa mangsa keluar dari tempat kejadian.-- BERNAMA

23 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment