October 21, 2014

Lelaki Itali hilang di Lahad Datu

Lelaki warga Itali, William Bocchi, 52, yang dilaporkan hilang di Lahad Datu, sejak seminggu lalu. - Foto Ihsan PDRM

TAWAU: Polis meminta kerjasama orang ramai mengesan seorang lelaki warga Itali yang dilaporkan hilang di Lahad Datu, dekat sini Sabtu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, William Bocchi, 52, dilaporkan hilang oleh rakannya apabila mangsa tidak kembali ke Itali Sabtu lalu seperti dijadualkan.

"Menurut laporan, rakan William yang berada di Itali, dikenali sebagai Fabio telah mengirimkan pesanan melalui email kepada rakan mangsa yang berada di Kuala Lumpur, bahawa William tidak kembali ke Itali seperti waktu yang telah ditetapkan.

"Siasatan awal pihak polis mendapati kali terakhir William menghubungi Fabio pada 13 Okt lalu dengan mengatakan dia berada di Lahad Datu, namun tidak memberitahu tujuannya berada di situ," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat yang diterima William terlibat dalam perkhidmatan kewangan dan dipercayai datang ke Lahad Datu untuk berjumpa dengan pelanggan.

"Semakan rekod Imigresen menunjukkan William masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12 Okt lalu dan pergi ke Lahad Datu keesokan harinya melalui penerbangan dari Kota kinabalu ke Lahad Datu pada jam 1.05 petang," kata Jalaluddin.

Beliau berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai William supaya menghubungi balai polis berhampiran. - BERNAMA

myMetro 21 Okt 2014


Lelaki Itali kali terakhir dilihat di Sandakan - Polis

KOTA KINABALU: Lelaki warga Itali yang dilaporkan hilang di Lahad Datu sejak seminggu lalu, dikesan mendaftar masuk di sebuah hotel di Sandakan pada malam 13 Oktober lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata berdasarkan rekod rakaman kamera litar tertutup (CCTV), William Bocchi, 52, dilihat mendaftar masuk ke Hotel Four Point, Sandakan pada jam 9.25 malam.

"Dia juga dilihat melalui CCTV hotel itu mendaftar keluar pada 14 Oktober. Itu kali terakhir kita mengesan beliau. Operasi mencari kini diperluaskan ke kawasan Semporna dan Sandakan.

"Usaha mengesan juga diperluaskan ke kawasan pedalaman, mungkin hingga ke Kinabatangan. Saya juga sudah mengarahkan semua ketua polis daerah di pantai timur Sabah untuk mengedarkan gambar Bocchi.

"Orang ramai yang melihatnya diminta memaklumkan kepada polis dengan segera," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

Bocchi yang juga peniaga dikatakan tidak dapat dikesan serta tidak menghubungi rakannya sehingga kini sejak tiba di Lahad Datu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 13 Oktober lalu.

Warga Itali itu sepatutnya pulang ke negara asalnya pada Khamis lalu, namun tidak berbuat demikian seperti dijadualkan.

Jalaluddin berkata, keluarga Bocchi sudah berhubung dengan kedutaan Itali mengenai perkara itu dan wakil kedutaan negara itu akan datang ke Sabah dalam masa terdekat ini.

"Setakat ini, saya tidak fikir kes ini membabitkan jenayah, mungkin dia ada berhubung dengan rakannya untuk menjual produk kerana dia bekerja sebagai peniaga.

"Kita juga mendapati berdasarkan CCTV di hotel di Lahad Datu, stesen bas dan lapangan terbang, dia bergerak seorang diri," katanya.

Berita Harian 21 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment