October 21, 2014

Penganggur maut ditetak, ditikam

Kuala Lumpur: Seorang penganggur lelaki berusia 29 tahun maut selepas ditetak di lengan dan leher sehingga hampir putus selain ditikam di perut dalam kejadian di hadapan Cove Square, Kota Damansara, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa A Bala Krishnan, 29, dikatakan sedang minum arak dan membuat bising bersama beberapa lagi rakannya di tempat kejadian.

Sebuah kereta jenis Mitsubishi Pajero kemudiannya tiba-tiba berhenti berhampiran kumpulan berkenaan dan dua suspek lelaki turun dari kenderaan berkenaan bertindak menyerang mangsa sebelum beredar meninggalkan lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dan seorang pengawal keselamatan yang menyaksikan insiden berkenaan sudah disoal siasat.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan kes siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB),"katanya ketika dihubungi, hari ini.

myMetro 20 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment