October 21, 2014

Tan Sri Ismail Hussein meninggal dunia


KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Ismail Hussein meninggal dunia kira-kira jam 9.36 malam ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya, dipercayai akibat sakit tua.

Ismail berusia 82 tahun, meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Rugayah Abdul Rashid dan empat anak - dua lelaki dan dua perempuan.

Ketua Satu Gapena, Prof Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar berkata, Ismail merupakan seorang tokoh di bidang kesusasteraan Melayu di negara ini.

"Sepanjang mengenali Allahyarham, beliau merupakan seorang yang lemah lembut dan selalu menghulurkan pertolongan kepada orang lain.

"Manakala dari sudut kepimpinan, beliau adalah seorang pemimpin yang berjaya membawa Gapena sehingga terkenal dalam memperjuangkan bidang kesusasteraan dan budaya Melayu di negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Allahyarham yang juga bekas Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya dilahirkan pada 30 Januari 1932 di Kampung Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah dan menerajui Gapena bermula 1971 hingga 2013.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Seksyen 16, Petaling Jaya, 10 pagi ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara kira-kira 11 pagi.

Al-Fatihah.

BERNAMA 21 Okt 2014



0 comments:

Post a Comment