October 21, 2014

Hanya ingat mati

Md Saad dan Hasiah melihat keadaan dapur yang yang berbumbungkan langit. 

ALOR SETAR - “Ketika itu, saya berpelukan dengan dua anak. Dalam fikiran hanya ingat mati kerana angin terlalu kuat, “ demikian kata mangsa ribut, Umi Kalsum Ismail, 44, di Kampung Dalam Kota, Lepai, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, lebih lima kediaman rosak teruk apabila bumbung kediaman mereka diterbangkan angin ribut.

Umi Kalsum berkata, dia dan dua anak perempuannya berusia 13 dan 15 tahun menjerit ketakutan apabila melihat angin seolah-olah mengangkat bumbung kediaman mereka.

“Mulanya, kedengaran bunyi menakutkan, manakala besi dan kayu jatuh di merata-rata tempat, bumbung kelihatan terapung-apung di udara.

“Kami cuba melarikan diri keluar rumah, namun bumbung sekolah berhampiran turut diterbangkan menyebabkan kami bersembunyi,” katanya.

Umi Kalsum berkata, bencana itu adalah kejadian kali ketiga rumahnya dibadai ribut, memandangkan insiden hampir serupa berlaku pada 2005 dan 2008.

Menurutnya, dia masih trauma dan tidak dapat tidur memikirkan kejadian ribut berlaku dalam tempoh lima minit itu kerana bimbang besi terjatuh, malah telinganya masih mendengar desiran angin.

Laung Allahu Akbar

Manakala, Md Saad Ahmad, 70, berkata, angin ribut menerbangkan zink dapur rumahnya berlaku ketika dia sedang ambil wuduk.

“Tiba-tiba, bunyi kuat, Allahu Akbar!, Allahu Akbar! Saya dan isteri, Hasiah Saad, 70, segera baca ayat kursi dan surah lain," katanya.

Hasiah berkata, dia menghalang suaminya masuk ke rumah apabila beberapa kayu alang patah dan jatuh memenuhi ruang dapur.

Adun ziarah mangsa ribut

Dalam pada itu, Adun Bukit Pinang, Wan Romaini Wan Salim berkata, pihaknya turun padang menziarahi beberapa kediaman terbabit dalam bencana ribut petang kelmarin.

Katanya, sebanyak lapan kediaman dilanda ribut di Kampung Dalam Kota, Lepai, manakala dua rumah lagi di Bukit Pinang turut mengalami kerosakan.

Wan Romaini berkata, pihaknya mengalu-alukan bantuan dari orang ramai bagi meringankan beban mangsa.

JKM teliti nilai kerosakan

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kota Setar, Syahrul Nasir Mat Rais berkata, lima kediaman didapati mengalami kerosakan serius.

Difahamkan, pihaknya sudah melakukan siasatan terperinci untuk mengenal pasti jumlah kerugian dialami.

Menurutnya, pihaknya juga akan meneliti kesesuaian bantuan untuk diberikan kepada mangsa.

“Bantuan segera seperti tikar akan diberikan selepas kita melihat bilangan isi rumah,” katanya.

Sinar Harian 20 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment