October 21, 2014

Warga emas maut langgar lori

Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kemalangan mengakibatkan seorang warga emas maut. 

JITRA - Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar lori muatan tar dalam kejadian di Kilometer 33.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.35 petang itu, mangsa, Cheng Bak Cay, 64, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, dalam kemalangan itu, lori terbabit dalam perjalanan dari Alor Setar ke Changloon untuk menghantar muatan.

“Siasatan awal mendapati lori terbabit mengalami kerosakan tayar sebelah kanan.

“Pemandunya memandu perlahan di lorong kecemasan untuk memastikan kawasan selamat sebelum menghentikan lori terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Abd Rahim berkata, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya ketika tiba di lokasi kejadian dan terlanggar bahagian belakang lori terbabit.

“Kemalangan berlaku ketika hujan lebat manakala keadaan lalu lintas juga sibuk.

“Keadaan jalan raya yang licin mungkin menyebabkan mangsa hilang kawalan,” katanya.

Katanya, pihaknya mengambil keterangan daripada pemandu lori dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian 20 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment