October 21, 2014

Kontraktor maut kemalangan lori dipandu terbabas

JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor maut dalam satu kemalangan selepas lori yang dipandunya terbabas akibat hilang kawalan lalu melanggar dua batang pokok dan terjatuh ke dalam parit di Jalan Permas Utara, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa Ong Yik Lung, 38, dari Jalan Bayu Puteri 2, di sini, mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kemalangan berlaku apabila Yik Lung yang memandu dari arah Plentong menghala ke Jalan Pantai melalui Jalan Permas Utara  terbabas ke bahu kiri jalan dan terjatuh ke dalam parit di bahu kiri jalan tersebut.

“Akibat perlanggaran itu, lori yang dipandu mangsa terbabas lebih kurang 20 meter ke bahu kiri jalan dan terlanggar dua batang pokok di bahu jalan dan seterusnya terjatuh ke dalam longkang tidak berair sedalam dua meter.

“Kemudian mangsa tercampak keluar dari kenderaannya menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah daripada kecuaian mangsa sendiri kerana gagal mengawal lori yang dipandu itu hingga terbabas ke bahu kiri jalan dan masuk ke dalam longkang.

“Setakat ini siasatan juga mendapati tiada unsur perbuatan jenayah. Mereka yang mempunyai maklumat lanjut diminta tampil memberi keterangan ke balai polis yang berhampiran,” katanya.

Sinar Harian 21 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment