September 16, 2014

Tayar pecah ragut isteri

ANGGOTA polis melihat mayat mangsa kemalangan.

Rantau Panjang: Seorang suami sempat mengajar isterinya mengucap dua kalimah syahadah sebelum wanita itu menghembuskan nafas terakhir apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan terbalik dalam kejadian di Kampung Lubok Gong, Jalan Rantau Panjang Lama, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi, Miss Rodiyah Baka, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala bayi perempuannya yang berusia setahun sesak nafas dan dihantar ke Pusat Kesihatan Rantau Panjang sebelum dirujuk ke Hospital Pasir Mas (HPM).

Bagaimanapun, suami Miss Rodiyah, Mohd Aliff Farhan Mohd Marzuki, 27, yang memandu kereta Honda Jazz hanya cedera ringan.

Difahamkan, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Banggol Seraya, Sungai Golok selepas menghabiskan masa bersama keluarga di Kedai Lalat, Kota Bharu.

Ketika ditemui, Mohd Aliff Farhan kelihatan sugul dan enggan ditemu bual berikutan terlalu sedih.

Saksi kejadian, Adam Zainuddin, 31, berkata, dia mendengar bunyi dentuman diiringi rempuhan kuat tidak jauh dari kediamannya dan bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Apabila keluar, saya dapati ada bayi perempuan sudah berada di tengah jalan dipercayai tercampak dari kereta yang ketika itu sudah terbalik sebaik merempuh sebuah stor penyimpanan barang di lokasi kejadian.

“Saya menyelamatkan bayi terbabit yang kelihatan sesak nafas.

Dalam masa sama, saya melihat seorang lelaki (Mohd Aliff Farhan) sedang mengajar isterinya mengucap dua kalimah syahadah di sisi kereta mereka yang terbalik sebelum wanita berkenaan menghembus nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Adam berkata, difahamkan salah satu tayar kereta Mohd Aliff Farhan pecah menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

myMetro 16 Sep 2014


Tercampak tengah jalan

Keadaan kereta dipandu Mohd Aliff Farhan yang terbalik selepas terbabas dan merempuh stor barang, semalam. Gambar kecil: Rodiyah

RANTAU PANJANG – Seorang wanita maut, sementara suami dan anaknya yang berusia setahun sembilan bulan, cedera selepas kereta dinaiki terbabas, lalu merempuh stor barang di Kampung Lubok Gong, jam 8.45 pagi, semalam.

Rodiyah Baka, 23, yang juga warga Thailand, mengalami kecederaan di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian. Mohd Aliff Farhan Mohd Marzuki, 27, pula mengalami kecederaan ringan.

Anak tunggal pasangan suami isteri itu, Qaseh Alya tercampak ke tengah jalan, mengalami sesak nafas dan mendapat rawatan di Hospital Pasir Mas.

Difahamkan, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke rumah keluarga Rodiyah  dekat Kampung Banggol Seraya, Sungai Golok, Thailand.

Saksi kejadian, Adam Zainuddin, 31, berkata, kereta jenis Honda Jazz itu dipercayai hilang kawalan selepas salah satu tayar kereta pecah.

“Risau anak kecil ini dilanggar kenderaan dari belakang, saya terus mengambilnya dan membawanya ke tempat selamat.

“Ketika itu, saya lihat bapa kanak-kanak malang ini sedang mengajar isterinya mengucap syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

"Saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sinar Harian 16 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment