September 16, 2014

Dhiya perlu pembedahan segera

Norain merayu bantuan orang ramai untuk melihat anaknya pulih.

PASIR GUDANG - Senyuman seorang ibu tidak seceria insan yang lain apabila memikirkan bayi kecil terpaksa menanggung derita penyakit Biliary Atresia atau kerosakan serius pada organ hati.

Norain Mohd Noor, 25, berkata, anaknya, Nadzatul Dhiya Nadzeera Nadzrul Fikri, setahun sembilan bulan yang mesra dipanggil Dhiya disahkan penghidap penyakit itu sejak dilahirkan.

Menurutnya, pembedahan pertama yang dijalankan ketika Dhiya berusia tiga bulan hanya mampu bertahan lapan bulan berikutnya sahaja dan disahkan doktor semakin kritikal apabila 100 peratus organ hatinya telah rosak.

“Sejak dilahirkan Dhiya ada kuning, tapi selepas usianya 20 hari kuning itu hilang. Bagaimanapun selepas membuat suntikan bulan kedua, kuningnya kembali lagi.

“Apabila dirujuk ke hospital, doktor sahkan organ hati Dhiya telah rosak dan perlukan pembedahan. Saya lega selepas pembedahan pertama Dhiya sihat, tapi tak sangka hanya mampu bertahan lapan bulan sahaja,” katanya yang ditemui Sinar Harian di kediamannya di Flat Tasik Bandar Seri Alam, di sini, hari ini.

Norain berkata, hatinya sebak apabila dimaklumkan kos pembedahan Dhiya dianggarkan sebanyak RM500,000, memandangkan jumlah itu jauh di luar kemampuannya yang mencari rezeki sebagai jurujual jam tangan bersama suami.

Menurutnya, hanya simpati orang ramai yang diharapkan untuk melihat Dhiya kembali sihat walaupun disahkan doktor anak kesayangannya itu terpaksa bergantung kepada ubat sepanjang hayat.

“Saya tak sampai hati nak lihat Dhiya terus menderita kerana walaupun kuat makan, tapi kerap buang air besar dan kulitnya mengalami gatal-gatal sehingga berdarah apabila digaru terlalu kuat.

“Dhiya tak boleh tidur terlentang kerana mengalami kesukaran bernafas memandangkan perutnya agak besar. Sepanjang masa Dhiya hanya mampu merengek seperti menahan sakit dan tidak mampu berjalan kerana keadaan tulang kakinya yang tidak kuat," katanya dengan linangan air mata.

Katanya, dia terpaksa meninggalkan Dhiya bersama ibunya keluar berkerja untuk membantu menambah pendapatan suami bagi menampung kos susu dan kos ulang-alik ke Pusat

“Saya dalam proses nak berhenti kerja, tapi memikirkan tanggungan berat terpaksa dipikul suami, saya tangguhkan dulu," katanya.

Orang ramai yang ingin menderma boleh salurkan terus melalui akaun bank bersama CIMB atas nama Norain Mohd Noor dan Adzlina Ibrahim 7055673237 atau hubungi Norain 014-2717423 atau ibu mertuanya, Adzlina 017-8773670.

Sinar Harian 9 Sep 2014


OKU guna komisen jual akhbar bantu Dhiya

Johor Bahru: “Saya mahu bantu adik Dhiya,” kata lelaki orang kurang upaya (OKU) yang juga penghuni rumah kebajikan yang turut menghulurkan derma kepada pesakit hati, Nadzatul Dhiya Nadzeera Nadzrul Fikri berusia setahun lapan bulan.

Hakim Ooi Abdullah, 50-an, menggunakan sebahagian wang komisen diperoleh hasil menjual surat khabar kepada kanak-kanak berkenaan selepas mengetahui penderitaan ditanggungnya.

Ooi berkata, dia tersentuh dengan penderitaan Nadzatul Dhiya Nadzeera atau Dhiya dan sanggup menggunakan sebahagian pendapatannya untuk menderma.

“Pendapatan saya tidak banyak sekadar RM15 sehari tetapi bersyukur kerana kerap dibantu orang ramai yang memberikan pakaian dan makanan selepas melihat kecacatan saya.

“Saya tidak meminta, namun mereka yang menderma. Hari ini saya menderma pula kepada Dhiya kerana mahu dia diselamatkan dan berharap Allah panjangkan umurnya,” katanya yang menderma kepada tabung amal diwujudkan bagi membantu kanak-kanak berkenaan di Pameran Autoshow World Event Management di Plaza Angsana di sini.

Ooi yang menjadi penghuni Rumah Sinar Harapan di Tampoi sejak kecil tiada waris dan dia mendapatkan kebenaran institusi berkenaan untuk bekerja sebagai penghantar surat khabar.

Sementara itu, ibu Dhiya, Norain Mohd Noor, 25, yang bekerja sebagai jurujual di kedai jam tangan berkata, hingga kini keluarganya sudah mengumpul dana RM11,000 daripada sumbangan orang ramai.

Menurutnya, keluarganya berterima kasih kepada orang ramai yang sanggup menderma kerana prihatin dengan Dhiya untuk menjalani pembedahan pemindahan hati secepat mungkin.

“Saya dan suami (Nadzrul Fikri Abu Bakar, 25) bersyukur dengan bantuan ini dan berharap dapat mengumpul dana secukupnya sebelum akhir bulan ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Ab Samad berkata, dia dimaklumkan pengurusan sebuah masjid di Bandar Seri Alam juga melakukan usaha mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak itu.

“Kami sudah merujuk keadaan kanak-kanak itu kepada Majlis Agama Islam Johor (Maij) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, akhbar ini memaparkan kisah Dhiya yang tinggal bersama keluarganya di Bandar Seri Alam, Masai, di sini, memerlukan RM500,000 untuk menjalani pembedahan pemindahan hati di sebuah hospital di Singapura dengan segera atas nasihat doktor Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur.

myMetro 11 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment