September 16, 2014

Maut dihempap kren


ANGGOTA bomba memeriksa keadaan mayat mangsa yang terhimpit besi.

Rawang: Seorang pengendali kren maut dihempap besi ketika mangsa sedang mengangkat besi itu di tapak pembinaan di Bandar Country Home, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, besi yang dikendalikan mangsa menggunakan kren berkenaan dikatakan terbalik lalu menimpa mangsa.

Menurut sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, lelaki berusia 40-an itu mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian terdapat beberapa pekerja lain bersama mangsa. Punca sebenar kemalangan masih lagi disiasat," kata sumber terbabit.

Sumber berkata, berikutan kejadian itu kawasan tapak pembinaan berkenaan ditutup buat sementara waktu bagi tujuan siasatan lanjut.

myMetro 16 Sep 2014


Maut dihempap kren

Usaha menyelamat dilakukan oleh anggota bomba. - Foto: Ihsan Balai Bomba Dan Penyelamat Rawang

RAWANG - Seorang lelaki maut selepas kren dipandunya terbalik sebelum menghempapnya dalam kejadian di sebuah tapak projek dekat Bandar Country Homes jam 7 petang, kelmarin.

Mangsa mati di tempat kejadian selepas tersepit di bawah kren yang membawa muatan besi binaan.

Sumber yang juga rakan sekerja berkata, mangsa berasal dari Melaka dan baru melaporkan diri sebagai pekerja kontraktor di situ.

“Muatan yang dibawa adalah tiga kali ganda dari sepatutnya menyebabkan kren tidak mampu menampung berat lalu terbalik.

“Mangsa tak dapat diselamatkan kerana terperangkap di bahagian tempat pemandu dan anggota mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan mayatnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kejadian berlaku sewaktu pekerja kontraktor sedang bersiap sedia untuk pulang.

Operasi menyelamat dilakukan bomba dari Balai Rawang mengambil masa yang lama mengalihkan muatan sebelum berjaya mengeluarkan mangsa jam 12 tengah malam.

Sinar Harian 17 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment