September 20, 2014

Pemuda Orang Asli mati lemas

Mangsa ditemui kira-kira jam 9.25 pagi semalam dan dihantar ke Hoshas untuk dibedah siasat.

BERA - Kegembiraan tujuh lelaki Orang Asli bermandi-manda di Sungai Bera dekat Kampung Bukit Rok, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas, kira-kira jam 9.25 pagi semalam.

Mangsa, Rosainal Omar, 27, bersama enam rakannya mandi di sungai itu kira-kira jam 3.30 petang kelmarin tetapi secara tiba-tiba dia didapati hilang selepas dibawa arus.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan, Zul Haizal Zainal Abidin berkata, rakannya yang menyedari situasi itu segera berenang ke arah mangsa.

“Bagaimanapun, rakannya gagal menemui mangsa dan meminta bantuan daripada penduduk kampung sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Triang.

“Tujuh anggota bomba bersama lapan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan dua anggota polis melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan kira-kira jam 8 malam kelmarin berikutan cuaca gelap dan mendung sebelum disambung jam 7 pagi semalam di lokasi mangsa dikatakan hilang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Triang, Penolong Penguasa Bomba, Jalaludin Abdul Mubin berkata, mangsa dijumpai pasukan penyelamat bomba di dasar sungai di lokasi mangsa lemas.

“Mangsa ditemui selepas 18 jam dilaporkan hilang oleh pasukan mencari di kawasan berdekatan,” katanya.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga keluarga,” kata beliau.

Sinar Harian 22 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment