September 20, 2014

Anggota JPJ maut dirempuh ketika bantu rakan

KULAIJAYA - Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut selepas dirempuh sebuah treler ketika sedang membantu rakannya yang mengalami kerosakan kenderaan di Kilometer 24.5 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus), di sini, kira-kira jam 1.25 pagi, semalam.

Kemalangan yang membabitkan sebuah kereta jenis Proton Perdana dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton serta sebuah treler muatan simen itu turut menyebabkan seorang lagi cedera parah.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 44 tahun berkenaan dikatakan bersama lima rakannya sedang membantu salah seorang daripada mereka yang mengalami masalah, namun maut dalam perjalanan ke hospital selepas dirempuh treler terbabit.

Semua mereka dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru dari arah Utara, tetapi berhenti di lorong kecemasan apabila salah sebuah kereta dinaiki empat individu mengalami kerosakan.

Mangsa menaiki kenderaan berasingan bersama seorang lagi rakan memberhentikan kenderaan di hadapan kereta yang rosak untuk menghulurkan bantuan.

Bagaimanapun, semua mereka yang berada di luar kenderaan tiba-tiba dirempuh sebuah treler dari arah belakang sehingga menyebabkan kereta mereka rosak dan terhumban ke dalam longkang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Ruslan Khalid, mengesahkan kejadian dan memberitahu mangsa yang parah di bawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Kemalangan itu menyebabkan seorang maut dan seorang lagi cedera parah, namun punca kejadian masih lagi dalam siasatan polis,” katanya.

Sinar Harian 20 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment