September 21, 2014

Dendangan hujung nyawa

Seorang pemuda yang sedang menyanyi karaoke di sebuah pusat hiburan di sini, maut dalam keadaan mengerikan apabila lehernya ditikam dengan pisau sejurus berlaku pergaduhan di premis itu.

Dalam kejadian jam 2 pagi semalam, mangsa, Mohd Sharul Ali, 22, bersama tiga rakannya dikatakan turut dibelasah kumpulan suspek di premis hiburan terletak di Kampung Baru Sungai Buloh di sini.

Tindakan itu menyebabkan mangsa yang berasal dari Kampung Paya Jaras di sini, maut serta-merta di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian bunuh itu kira-kira jam 3.15 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati berlaku pergaduhan antara dua kumpulan pelanggan pusat hiburan dua tingkat itu yang menempatkan pusat karaoke di tingkat bawah dan snuker di tingkat atas premis.

“Siasatan mendapati pertelingkahan itu bermula kira-kira jam 11 malam sebelum menjadi bertambah tegang apabila berlaku tolak-menolak dan ugutan antara kedua-dua belah pihak yang akhirnya membabitkan penggunaan senjata kayu dan pisau,” katanya.

“Dalam pergaduhan itu, Mohd Sharul maut serta merta akibat kecederaan parah dialami di bahagian lehernya,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian hanya menemui beberapa batang kayu dipercayai digunakan dalam kejadian itu, namun pisau lipat yang disyaki digunakan untuk menikam leher mangsa belum ditemui.

“Susulan kejadian itu, polis menahan dua beradik berusia 19 dan 21 tahun selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam bilik karaoke berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dengan meneliti rakaman CCTV.

Setakat ini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Ali Husin, 50-an yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh berkata, Mohd Sharul yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu keluar rumah jam 2 petang kelmarin tanpa memberitahu lokasi ditujunya.

myMetro 22 Sep 2014


Pemuda maut ditikam rakan selepas berkaraoke

PETALING JAYA 21 Sept. - Kebiasaannya berkaraoke sampai 'hilang suara' tetapi lain pula terjadi di sini apabila seorang lelaki hilang nyawa ketika melakukan aktiviti itu bersama rakan-rakannya.

Dalam kejadian yang pada awalnya dalam suasana bergembira, tiba-tiba bertukar tegang. Ada antara mereka mabuk dan mula bergaduh antara satu sama lain di sebuah pusat hiburan di Kampung Baru Sungai Buloh, dekat sini.

Sekumpulan lapan pemuda itu pada mulanya datang ke pusat hiburan terbabit untuk berkaraoke, kira-kira pukul 11 malam tadi. Namun selepas beberapa jam menyanyi, mereka mula mencaci sesama sendiri.

Pergaduhan mulut tersebut juga dikatakan semakin teruk sehingga ada antara mereka bertumbuk dan dipukul menggunakan kayu.

Keadaan bertambah parah apabila akhirnya seorang lelaki ditikam di bahagian leher menggunakan senjata tajam dipercayai pisau lipat di anak tangga premis terbabit ketika dia cuba melarikan diri.

Malah, difahamkan, pergaduhan itu tidak berakhir di situ. Sebaliknya, suspek bertindak mencari mangsa di Hospital Sungai Buloh ekoran masih tidak berpuas hati.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai pergaduhan itu pada pukul 3.15 pagi dan siasatan lanjut mendapati, seorang lelaki, Mohd. Sharul Ali, 22, telah meninggal dunia dengan kesan tikaman di bahagian leher ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

"Mangsa terlibat dalam pergaduhan di pusat karaoke itu sehingga berlaku tolak-menolak serta ugut-mengugut, memukul dengan kayu dan akhirnya seorang daripadanya ditikam rakannya sendiri," katanya di sini hari ini.

Kata beliau, polis bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membuat pengecaman suspek dan hasilnya dua beradik yang berusia 19 dan 21 tahun diberkas.

Mengulas mengenai motif kejadian, Junaidi memberitahu, pihaknya masih menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Utusan 22 Sep 2014


Pelajar kolej dituduh bunuh rakan

Shah Alam: Seorang penuntut kolej swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh rakannya di sebuah pusat karaoke, Ahad lalu.

K Punitan, 19, didakwa membunuh Mohd Shahrul Ali, 22, di Pusat Istirehat E-Zone, Lot 873-A, Jalan Kampung Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, jam 2.20 pagi, 21 September lalu.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Parimalah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

myMetro 27 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment