September 16, 2014

Kepala manusia disangkakan sampah

MIRI: Seorang lelaki yang sedang memancing di sebuah jeti lama di Kuala Baram terkejut apabila terlihat satu mayat terapung tidak jauh dari tempat dia berdiri kira-kira pukul 10 pagi semalam.

Ahmad Ismail, 60, berkata pada mulanya dia ingatkan mayat yang dilihatnya adalah sampah namun seorang lelaki lain mengatakan ia adalah kepala manusia.

“Saya terkejut apabila saya perhatikan betul-betul memang benar apa yang lelaki itu katakan,” katanya ketika ditemui dilokasi kejadian semalam.

Polis yang menerima aduan dari orang ramai bergegas ke lokasi kejadian dalam beberapa minit.

Timbalan Ketua Polis Miri, Superitendan Jonathan Ringgit mengesahkan kes dan mengenalpasti mangsa sebagai Kyaw Zayar Htut, 25, dari Yangon, Myanmar yang bekerja dengan salah sebuah bot tunda di Kuala Baram.

“Mayat mangsa ditemui lengkap berpakaian. Siasatan awal mendapati tiada kecederaan ditemui pada mayat mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Kapten mangsa, Chuo Min Thuo, 61, ketika ditemui di jeti tersebut semalam berkata mangsa sudah hilang selama dua hari dan baru bekerja dengannya pada 30 Ogos tahun ini.

Chuo berkata dia telah melaporkan kehilangan mangsa di Balai Polis Lutong pagi semalam.

Rakan mangsa pula, Wawan Darmansyah, 25, berkata mangsa telah meninggalkan bot tunda tersebut selepas makan malam kira-kira pukul 7 petang pada 7 Sep.

“Dia kawan saya. Dia tinggalkan bot sekitar pukul 7 petang pada 7 Sep. Saya ingatkan dia pergi berjalan-jalan,” kata Wawan dengan menambah yang dia kemudian cuba menghubungi mangsa selepas itu namun tidak dapat menghubunginya.

“Pada malam itu hujan lebat dan angin agak kencang. Mungkin dia terjatuh ke dalam sungai,” tambahnya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

Polis masih menyiasat kejadian

Sumber The Borneo Post 10 Sep 2014


0 comments:

Post a Comment