September 16, 2014

Maut selepas raikan harijadi anak

Anggota polis trafik sedang menjalankan siasatan di lokasi kemalangan yang berlaku dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching

KUCHING: Seorang kakitangan lapangan terbang terbunuh dalam satu kemalangan beberapa jam selepas meraikan harijadi anak perempuannya.

Mangsa, Abu Bakar Sam, 44, sedang menunggang motosikalnya ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching apabila kejadian berlaku dekat jejambat di Jalan Lapangan Terbang, pukul 8.35 malam pada Isnin.

Dipercayai kejadian berlaku apabila seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda yang sedang menuju ke arah pusat bandar hilang kawalan menyebabkan kenderaannya terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah van. Pertembungan itu menyebabkan van tersebut pula terbabas lalu melanggar mangsa yang berada di belakangnya sebelum terbalik.

Mangsa disahkan sudah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh anggota paramedik akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala pemandu van yang patah kaki kanannya dan tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.

Pemandu pacuan empat roda berkenaan pula tidak cedera.

Polis masih menyiasat kejadian.

Sementara itu, ahli keluarga Abu Bakar berkata mangsa sempat meraikan harijadi anak perempuannya yang ke 21 sebelum kemalangan tersebut.

“Dia habis bekerja pada pukul 5 petang dan pulang ke Bau untuk makan malam sempena menyambut harijadi anaknya. Kemudian dia keluar untuk menghantar seorang saudara di Jalan Mendu dan dalam perjalanan semula ke tempat kerjanya untuk untuk memulakan syif yang kedua,” kata seorang ahli keluarga yang enggan dikenali yang tiba untuk menuntut jenazah mangsa di rumah mayat Hospital Umum Sarawak semalam.

Dalam satu kejadian berasingan, seorang penunggang motosikal berusia 25 tahun terbunuh dalam satu kemalangan di Siburan semalam.

Mangsa dikenali sebagai Favian Chuiyam @ Gilbert Swian dari Batu 21, Kampung Petung.

Dipercayai dalam kejadian pukul 1.15 petang itu, Favian sedang menunggang bersendirian ke arah pusat bandar apabila sebuah kereta yang dipandu oleh seorang warga emas tiba-tiba membelok ke sebuah simpang dari arah bertentangan.

Favian yang tidak sempat mengelak melanggar bahagian sisi kereta berkenaan dan maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala manakala isteri kepada pemandu kereta berkenaan mengalami cedera ringan.

Anggota polis trafik Padawan menjalankan siasatan dan mayat Favian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak.

Sumber The Borneo Post 10 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment