August 18, 2014

Tulang belakang retak terjatuh dari bumbung

Anuar (duduk, kanan) melihat keadaan Mohd Fareez yang terbaring di rumahnya dekat Kampung Tengai, Segamat.

SEGAMAT – Hasrat murni seorang pemuda di Kampung Tengai, di sini, untuk membantu membaiki bumbung rumah jirannya yang rosak akibat ribut baru-baru ini, berakhir tragedi apabila dia terjatuh dari bumbung tersebut.

Mohd Fareez Abdul Rahman, 23, berkata, ketika kejadian jam 5 petang 10 Ogos lalu, dia diminta seorang jiran supaya membetulkan kembali bumbung bocor.

“Saya yang kebetulan tidak bekerja setuju membantu, saya kemudian mula memanjat dan membaiki bumbung rosak dengan dibantu seorang rakan.

“Cuaca ketika itu hampir gelap, saya terpijak kekuda kayu bumbung yang reput sebelum terjatuh dari ketinggian tiga kaki,” katanya.

Menurutnya, dia yang kesakitan dan panik ketika itu tidak mampu berbuat apa-apa sebelum rakan membantunya.

Katanya, dia dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS) menaiki ambulans sebelum pihak hospital melakukan imbasan sinaran X terhadap dirinya.

“Ketika itu doktor mengesahkan terdapat dua keretakan di tulang belakang saya dan saya ditahan di dalam wad beberapa hari sebelum dibenarkan pulang rumah. Sementara menunggu rawatan, saya hanya terbaring di rumah kerana sukar bergerak.

“Saya harap kecederaan tulang belakang saya tidak menjejaskan kehidupan selepas ini kerana saya perlu membantu ibu mencari duit untuk keluarga kami,” katanya.

Ibunya, Siti Rozana Selamat, 42, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah sekolah rendah di Tahang Rimau berkata, kejadian ini seperti jatuh ditimpa tangga selepas rumahnya juga terkena ribut.

“Rumah sewa saya juga terkena ribut dan habis semua tilam dan peralatan di rumah ini tidak boleh digunakan lagi. Pemilik rumah juga tidak mampu berbuat apa-apa kerana rumah dia sendiri rosak.

“Saya mungkin akan mengambil sedikit masa membetulkan kembali keadaan rumah sewa saya ini kerana keutamaan sekarang adalah kepada Fareez dan adik beradiknya yang lain,” katanya.

Sementara itu, penderitaan Mohd Fareez mendapat perhatian Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap, Ketua Pemuda Umno Bahagian Sekijang, Mohamed Salleheen Mohamad dan ahlinya yang tampil membantu.

Anuar berkata, pihaknya memberi sumbangan tilam kepada Fareez dan 14 Ogos lalu, seramai 245 mangsa ribut di Parlimen Sekijang menerima wang ihsan mangsa ribut bernilai RM500 melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sinar Harian 18 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment